Apabila bercakap tentang Thailand, pasti terbayang mengenai makanan, kawasan membeli-belah dengan harga runtuh dan budayanya. Antara perkara menarik bagi para pelancong seluruh negara yang datang ke negara Gajah Putih itu ialah melihat kemeriahan sambutan Festival Songkran.
Festival Songkran merupakan sambutan perayaan bagi rakyat Thailand, menandakan Tahun Baharu Thailand. Thailand menyambut Songkran berdasarkan kiraan takwim tradisionalnya, dari 13 hingga 15 April. Ketika itu, orang awam akan menyimbah air antara satu sama lain di bawah kehangatan sinaran matahari.
Festival Songkran adalah antara tarikan utama pelancong asing ke Thailand dan menjana pendapatan jutaan dolar setiap tahun.

Kawasan popular dalam kalangan pengembara backpacker, Khaosan Road, di Bangkok selalunya menyaksikan acara sambutan Songkran yang luar biasa, termasuk penaja-penaja yang menyediakan bekalan air tanpa had dan pelbagai kelengkapan untuk menembak air.
Pengunjung yang lengkap dengan senapang air dan baldi biasanya berkumpul di jalan raya di seluruh negara dan menyiram air sesama mereka.
Namun pada tahun ini, festival yang terkenal di seluruh dunia ini tidak akan dilakukan secara besar-besaran. Difahamkan, warga setempat akan menyambutnya secara sendiri tanpa ada penganjuran rasmi.
Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa tidak mahu sambutan tersebut bertembung dengan persiapan pertabalan raja baharu Thailand. Sambutan besar-besaran Songkran di Khaosan telah dibatalkan untuk memberi laluan persiapan istiadat rasmi pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn yang berlangsung pada 4 hingga 6 Mei.
Para pelancong dan warga Thailand masih boleh menyambut Songkran secara kecil-kecilan tetapi ada beberapa peraturan yang dikeluarkan oleh majlis bandar raya tempatan patut dipatuhi.
Bagi anda yang merancang ke Thailand untuk melihat kemeriahan festival ini, mungkin perlu tunda pada tahun lain.
Sumber: Astro Awani