Sebut sahaja Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu, akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.
Pasar ikonik itu merupakan tempat perniagaan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat dan pelancong ke Terengganu.
Namun hanya menjadi kenangan selama 51 tahun apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 untuk digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung.
Timbul isu untuk pembinaan semula kerana pelbagai masalah mengenai infrastruktur di pasar tersebut yang sudah tidak selari dengan arus kemodenan tetapi rata-rata peniaga asal di sana berbelah bahagi untuk berpindah kerana pelbagai memori tersimpan sepanjang tempoh kewujudannya.
Pasar itu menjadi tapak perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya orang Melayu, yang tentunya menyimpan terlalu banyak kenangan suka duka, dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali mengalami perubahan struktur.
Perancangan pembangunan Pasar Besar Kedai Payang itu akan berkonsepkan pengubahsuaian dan penambahan ruang serta kemudahan dengan turut mengekalkan corak perniagaan tradisional dan moden dalam persekitaran yang selesa.



Menerusi hantaran Amazing Terengganu di Facebook, wajah baharu pasar yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai Terengganu itu telah beroperasi semula pada 1 Julai 2019.
Peniaga di premis asal yang berada di premis sementara akan kembali semula berniaga di pasar berwajah baharu itu dengan persekitaran yang lebih selesa dan menarik.
Sumber: Utusan , Amazing Terengganu