Sering kali kita mendengar bahawa kita perlu minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
Minum air lapan gelas sehari dikatakan memberi manfaat kepada tubuh badan seperti meningkatkan metabolisme, menghindari daripada dehidrasi dan tidak berlaku sebarang komplikasi sistem organ dalaman.
Sebenarnya peraturan minum air lapan gelas sehari itu bukanlah untuk semua orang. Menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Fadhlina Zakaria, minum air secara berlebihan daripada keperluan badan boleh memudaratkan dan membahayakan kerana ia juga boleh menyebabkan berlakunya kegagalan organ.
Ini disebabkan air dalam tubuh boleh menjadi terlalu banyak melalui pengambilan berlebihan atau apabila organ tubuh gagal mengeluarkannya terutamanya bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik yang membabitkan jantung dan buah pinggang.
“Minum air melebihi jumlah diperlukan akan meningkatkan jumlah isi padu darah anda yang berada dalam sistem peredaran darah yang tertutup. Sekiranya isi padu darah meningkat di dalam badan, ia akan membebankan jantung dan salur darah.
“Buah pinggang pula perlu bekerja keras untuk menapis air berlebihan untuk keluar daripada sistem peredaran darah melalui air kencing,” katanya.
Kepada siapa yang perlu minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari?
Jika anda seorang yang banyak berpeluh kerana bersenam, selalu terdedah kepada cuaca panas atau demam, perlu minum air yang lebih daripada biasa.
Selain itu, ibu mengandung dan menyusukan anak serta mereka yang gemar mengambil makanan banyak garam atau mengambil minuman beralkohol perlu minum lebih untuk menggantikan cecair dalam badan yang hilang.
Namun, bagi pesakit kronik seperti menghidap penyakit jantung dan buah pinggang, perlu berbincang dengan doktor mengenai kandungan air yang ideal untuk anda setiap sehari.
Jadi, minumlah air secukupnya mengikut berat badan anda.
Sumber: Harian Metro