Merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu, Pahang terkenal dengan menu atau hidangan diraja yang boleh anda cuba.
Ini senarai tujuh makanan wajib yang perlu anda cuba sekiranya berkunjung ke Pahang.
1. Gulai Patin Tempoyak
Menjadi trademark kepada negeri Pahang, gulai patin tempoyak di Temerloh adalah yang paling terkenal kerana ikan patin yang dibela di dalam sangkar.
Hidangan eksotik yang dimasak bersama isi durian masam memang menyelerakan tambah pula jika ikan patin yang dimasak itu segar diambil dari ‘ladang’.
2. Nasi Kebuli
Nasi Kebuli ini mendapat nama bersempena dengan peristiwa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Mahmud Shah (1941-1917) bersama 60 orang pengikutnya mudik ke pekan Kuala Lipis dan berhenti sebentar di Kuala Kenong.
Baginda bertemu Hussin dan menyatakan hasratnya mahu menjamu selera nasi berlaukkan ayam kampung dan hidangan tersebut dinamakan sebagai Nasi Kebuli atau nama panjangnya Nasi Ke Bawah Duli.
Sangat terkenal di kawasan kampung sekitar Kuala Lipis, hidangan ini pernah dicatatkan pada Muzium Warisan Kuala Lipis.
3. Sambal Hitam
Semakin popular, sambal hitam ini menggunakan belimbing buluh, ikan bilis dan cili sebagai bahan utama masakan. Tempoh masa memproses masakan yang agak lama menyebabkan sambal ini dijual dengan harga sedikit mahal.
Keenakan sambal ini memang tidak boleh disangkal, cukup rasa masam, pedas dan masin, memang menyelerakan kalau dimakan bersama roti dan nasi panas.
3. Pais Ikan Patin
Hampir sama dengan Gulai Tempoyak Patin, Pais Ikan Patin dimasak dengan cara dibakar bersama bahan-bahan seperti bawang, halia, serai dan asam jawa yang akan memberikan rasa masam tempoyak, manis ikan dan pedas cili dengan aroma yang cukup menggiurkan!
Daun kunyit dan daun pisang wajib digunakan supaya aroma menu ini semasa dibakar semakin naik, ditambah pula rasa perapan tempoyak pada ikan. Memang kecur!
4. Sambal Kulat Sisir
Sambal kulat sisir merupakan hidangan yang semakin dilupakan kerana harga pasaran kulat sisir yang mahal. Dimasak menggunakan bahan-bahan seperti kulat sisir, cili kering atau cili padi yang dikisar, bawang merah, bawang putih, telur, garam dan gula.
Mungkin kedengaran agak janggal terutamanya untuk generasi muda kini, sambal kulat sisir merupakan salah satu menu wajib dirasa seumur hidup.
5. Laksa Pahang
Agak berbeza dengan laksa negeri lain, Laksa Pahang berada dalam kelasnya tersendiri yang boleh didapati semasa acara kenduri kawasan Pekan atau Kuantan.
Mi laksa dibuat menggunakan tepung yang telah diuli dan dimasukkan ke dalam acuan bagi menghasilkan mi dan direbus sebaik sahaja dikeluarkan dari acuan.
Berwarna agak kekuningan, pekat dan berlemak, Laksa Pahang menggunakan ikan tenggiri, santan, kerisik dan beberapa bahan lain untuk penghasilan kuah dan akan dimakan bersama daun kaduk, daun selasih, timun, taugeh, sambal cili dan sedikit belacan.
6. Puding Diraja
Warna kuning keemasan Puding Diraja cukup menarik ditambah pula kaya dengan hiasan seperti kismis, ceri dan kekacang, maka tak mustahillah makanan ini suatu ketika dahulu hanya dihidangkan kepada golongan istana sahaja.
Dimakan bersama susu sejat yang dicampurkan sedikit garam, hidangan ini memang sedap dimakan ketika sejuk. Baru terasa nikmatnya.
7. Kuih Mahbob
Turut dikenali sebagai kuih Jeneral Mahbob, kuih ini sangat terkenal dalam kalangan penduduk Pekan kerana ianya sukar didapati di kawasan lain selain Pekan.
Dihasilkan bagi meraikan sesuatu majlis, Kuih Mahbob sangat istimewa kerana tepung beras akan dogoreng sehingga kekuningan terlebih dahulu sebelum dicampurkan bersama bahan-bahan lain sebelum dikukus.
Kemudian di bahagian atas, kuih ini akan ditaburkan dengan tahu minyak yang menambahkan aroma wangi dan menyelerakan.
Menarik dan klasik bukan hidangan-hidangan yang ada di Pahang. Lain kali kalau ke Pahang, jangan lupa untuk cuma kesemua menu atau hidangan yang di atas. Tak lengkap kalau ke Pahang tapi tidak pernah mencuba makanan ini.
Selamat mencuba dan bercuti!
Sumber: Saji