Taman Negara merupakan satu tempat percutian di Pahang yang popular dalam kalangan penggemar eko-pelancongan dan hutan ini merupakan hutan simpan terbesar di Semenanjung Malaysia.
Pengunjung boleh ke Taman Negara sama ada melalui jalan darat ataupun merasai pengalaman menaiki bot menyusuri Sungai Kuala Tembeling. Perjalanan dengan bot sememangnya satu pengalaman yang menarik untuk ke Taman Negara dan kebiasaannya mengambi masa sehingga 3 jam lamanya.
Bagaimanapun, bajet anda untuk ke Taman Negara selepas ini perlu ditambah apabila kerajaan Negeri Pahang akan memperkenalkan kadar baharu fi dan permit masuk bermula 1 Januari 2020.
Kenaikan kadar itu yang kali pertama dilakukan selepas Taman Negara dibuka lebih 70 tahun lalu, kadar baharu itu menggantikan kadar lama permit masuk yang bernilai RM1 untuk seorang tidak kira umur.

Kadar baru yang akan dikenakan ialah RM10 bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, manakala bayaran RM30 dikenakan kepada golongan berusia antara 13 hingga 60 tahun dan mereka yang berusia 61 tahun ke atas perlu membayar RM15.
Faktor kenaikan permit ini bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan hasil negeri dan menambah pendapatan Pahang.

Sumber: Berita Harian