‘Ambil Jika Kamu Lapar’, Tindakan Mulia Pemilik Restoran Ini Meletakkan Makanan Percuma Di Luar Premisnya Memang Wajar Dipuji

Alangkah indahnya dunia ini jika ramai yang bersifat mulia seperti pemilik restoran ini yang menyediakan makanan percuma untuk mereka yang memerlukan.

Beliau meletakkan sebuah troli khas yang tertulis “RUANGAN – AMBIL JIKA KAMU LAPAR” yang dipenuhi dengan bungkusan makanan untuk diambil oleh sesiapa sahaja yang kelaparan.

Sebenarnya, sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada bulan Mac tahun lalu lagi, pemilik restoran ini telah menyediakan di antara 200 hingga 1,000 bungkus makanan percuma di luar restorannya di Damansara Damai setiap hari.

Sebagai seorang kanak-kanak yang pernah dibesarkan di kawasan setinggan Selayang Indah, pemilik restoran Shahrul Nizam Kamal, 35, berkata beliau amat memahami kemiskinan dan tidak sanggup melihat orang lain tidur dalam kelaparan.

Shahrul kini menyajikan makanan sebanyak tiga kali sehari di luar restoran miliknya – Kedai Makan Abang Tukang Masak di Plaza Surian.

Foto The Star
– Foto The Star

Saya mula menghidangkan makanan yang siap dibungkus seperti nasi goreng di luar restoran saya seminggu selepas PKP bermula tahun lalu. Saya melakukannya setiap hari.

“Saya tidak menghalang sesiapa untuk mengambilnya dan dari pemerhatian saya pada hari ini, saya dapati golongan dari kategori M40 dan T20 yang selalunya datang untuk mengambil makanan tersebut.

“Mereka mungkin datang dengan menaiki kereta, tetapi mereka juga mempunyai tanggungan hutang yang banyak dan bil yang harus dibayar.

Baca juga: Kari Ayam Penyelamat Keluarga Menteri

“Ketika ini juga, mereka menghadapi cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana ramai di antara mereka yang kehilangan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik sebelum ini.

“Golongan B40 memang terjejas teruk tetapi kebiasaannya, mereka tidak mempunyai banyak komitmen hutang. Walau bagaimanapun, mereka bergantung kepada upah harian untuk hidup dan sudah tentu mereka kini juga amat terkesan.

“Mereka yang sebelum ini pernah mendapat manfaat dari bantuan yang saya sediakan ini juga turut mengambil peluang untuk sama-sama menyumbang dalam program makanan percuma ini.

“Mereka yang telah kembali bekerja pun kadangkala datang untuk menghulurkan sumbangan kepada saya, agar saya dapat memberikan lebih banyak makanan percuma,” kata Shahrul yang merupakan bapa kepada seorang anak berkeperluan khas.

Shahrul berkata, jumlah bungkusan makanan yang akan disumbangkannya setiap hari bergantung kepada keuntungan yang diperolehinya.

Dia turut menyediakan sumbangan lain seperti beras dan sardin kepada mereka yang memerlukan di kawasan kejiranannya tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Shahrul berkata, satu-satunya harapan dan doanya adalah agar mereka yang terkesan tidak berputus asa dan terus tabah dalam menghadapi hari-hari sukar ini.

Janganlah berputus asa. Teruskan berharap, kuatkan semangat dan mintalah pertolongan,” tambah Sharul lagi.

Semoga lebih ramai pemilik restoran seperti Sharul tampil memberikan makanan percuma selepas ini.

Kami di MAKANLENA mendoakan yang terbaik buat beliau dan semoga beliau sentiasa dimurahkan rezeki.

Sumber: The Star