
Kerajaan Thailand memutuskan untuk tidak memasukkan nama Malaysia sebagai negara yang diluluskan untuk menyertai program pelancongan Phuket Sandbox.
Langkah yang diambil oleh kerajaan Thailand untuk meminggirkan Malaysia dari Phuket Sandbox ini dipercayai gara-gara kes harian jangkitan COVID-19 tempatan yang kini mencecah angka 9,000 sehari.
Pada 22 Jun 2021, kerajaan Thailand telah meluluskan program Phuket Sandbox yang membolehkan pelancong tempatan dan asing memasuki Thailand tanpa perlu dikuarantin.

Program yang dijadualkan bermula pada 1 Julai 2021 tersebut diadakan sebagai persediaan sebelum sempadan Thailand dibuka sepenuhnya tidak lama lagi.
Phuket menjadi lokasi pertama dari model “sandbox” ini dan pelancong yang telah mendapat suntikan vaksin boleh mengunjungi pulau tersebut tanpa perlu dikuarantin lagi.
Walaupun pelancong tidak perlu lagi dikuarantin, mereka diwajibkan untuk tinggal di Phuket sekurang-kurangnya selama 14 hari sebelum dibenarkan untuk mengunjungi destinasi lain di Thailand.
Baca juga: Pelancong Pantai Thailand Bakal Dikenakan Hukuman Mati Untuk Gambar Swafoto
Selama tempoh tersebut juga mereka hanya dibenarkan untuk menginap di hotel-hotel yang mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari Safety and Health Administration (SHA+) Thailand sahaja.
Pengiktirafan SHA+ merupakan protokol dan syarat ketat yang perlu dipatuhi oleh pengurusan hotel misalnya suntikan vaksin yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu bagi setiap pekerja di hotel tersebut.
Di antara hotel yang telah mendapat pengiktirafan SHA+ ialah DoubleTree by Hilton Phuket, Holiday Inn Resort Phuket, JW Marriott Phuket Resort & Spa, Renaissance Phuket Resort & Spa dan Pullman Phuket Panwa Beach Resort.

Pelancong juga perlu lengkap divaksinasi dengan vaksin yang mendapat kelulusan dari World Health Organisation (WHO) sahaja.
Tempoh pemberian vaksin yang lengkap pula adalah tidak kurang dari 14 hari dari tarikh memulakan perjalanan dan wajib disertakan bersama kad pengesahan atau sijil vaksin yang sah.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak di antara umur 6 hingga 18 tahun yang masih belum divaksin masih dibenarkan sekiranya ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.
Mereka hanya perlu menjalani ujian COVID-19 sebaik sahaja tiba di Thailand dan kos untuk ujian dan pemeriksaan tersebut perlu ditanggung sendiri sepenuhnya.
Di antara negara-negara yang telah ‘dijemput’ oleh Thailand bagi merancakkan kembali industri pelancongannya ialah Australia, New Zealand, Singapura, Brunei, China, Korea Selatan, Laos, Vietnam dan Cambodia.
Turut tersenarai ialah Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman, Denmark, Portugal dan Israel (bukan negara sebenar).
Sayangnya, Thailand tidak memasukkan nama Malaysia dalam senarai Phuket Sandbox ini.
Di Malaysia, nak merentas negeri pergi Langkawi pun entah tak tau bila lagi.
Sumber: ThaiEmbassy.com