
Arab Saudi dilaporkan kini sudah mengiktiraf vaksin Sinovac untuk mana-mana individu yang telah menerima suntikan dos vaksin tersebut dan ingin memasuki negara itu.
Sebelum ini, Arab Saudi hanya menerima empat jenis vaksin COVID-19 sahaja iaitu vaksin Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.
Individu yang telah menerima dos vaksin Sinovac kini boleh boleh menarik nafas lega selepas kerajaan Arab Saudi turut menerima vaksin tersebut sebagai salah satu syarat kemasukan ke negara itu.
Ianya juga merupakan salah satu syarat wajib yang diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi bagi bakal jemaah yang berhasrat untuk ke Tanah Suci.
Berita gembira ini disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman Facebook rasmi beliau.
“Alhamdulillah, Arab Saudi menyenaraikan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana.
“Boleh sampaikan kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah akan datang.
“Sama-sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini, dipermudahkan Allah SWT”, ujar beliau.
Vaksin Sinovac merupakan salah satu vaksin keluaran negara China. Arab Saudi turut menyenaraikan satu lagi vaksin COVID-19 buatan China iaitu Sinopharm yang turut mendapat kelulusan.
Sebelum ini, Pharmaniaga Berhad dilaporkan mampu mengeluarkan 2 juta dos vaksin Sinovac setiap bulan.
Vaksin Sinovac yang tiba di Malaysia telah dibeli secara pukal dan bukan produk siap, justeru proses pembotolan seterusnya dibuat di kilang Pharmaniaga di Puchong.

“Tidak ada lagi kerisauan kepada ahli keluarga kita yang khuatir tidak dapat tunaikan haji dan umrah kerana diberi vaksin Sinovac.
“Fokus kita adalah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19) untuk pastikan lebih ramai mendaftar dan hadir untuk vaksinasi,” tambah beliau lagi.
Arab Saudi sebelum ini mengumumkan hanya 60,000 jemaah dari seluruh dunia dibenarkan menunaikan haji tahun ini.
Sejumlah 45,000 tempat ditawarkan kepada jemaah dari luar Arab Saudi manakala bakinya dikhususkan untuk jemaah tempatan.