
“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.”
(Surah As-Saba’, ayat 13)
Ketika kita diberi kesihatan tubuh badan dan kemampuan wang ringgit, kita seringkali terlupa untuk bersyukur. Bahkan, setiap kali kita bangun dari tidur dan masih mampu untuk menarik nafas pun, kita seringkali tidak sedar dari mana asalnya nikmat itu datang.

Satu dunia kini ditimpa bala wabak penyakit yang mengorbankan jutaan manusia. Hanya dengan sekelip mata sahaja Allah telah menarik nikmat kita semua.

Ramai yang mengeluh. Tidak kurang juga yang tidak dapat menerima kenyataan. Perniagaan tidak banyak untung, tiada kenaikan pangkat dan gaji, tiada bonus dan tidak dapat melancong. Sedangkan di luar sana, ramai lagi yang ditimpa ujian bertimpa-timpa dan jauh lagi hebat.

Ada yang kehilangan pekerjaan, perniagaan gulung tikar, hutang keliling pinggang, muflis, harta digadai dan dilelong, tidak mampu bayar balik pinjaman bank, tidak mampu menyara makan dan minum keluarga, kos rawatan hospital tinggi, kematian ahli keluarga, menjadi ibu tunggal, yatim piatu dan sebagainya.

Tiada lagi bazaar dan buffet Ramadan, tiada lagi balik kampung, tiada ziarah kubur, tiada open-house dan sambutan Hari Raya besar-besaran. Malah, nikmat untuk beribadat mengerjakan umrah dan haji di depan Kaabah juga kini seakan-akan telah ditarik Allah.

Allahu Akbar! Masjidil Haram turut kelihatan agak lengang dan sepi. Jutaan manusia yang sering membanjirinya tidak lagi kelihatan seperti biasa. Tahun lalu, hanya 1000 orang dibenarkan mengerjakan haji berbanding lebih 2.5 juta pada 2019.

Buat masa ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penganjuran ibadah haji 2021. Arab Saudi juga hanya mengiktiraf vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sahaja untuk jemaah haji tahun ini.

Sedih. Sedikit demi sedikit Allah menarik nikmat kita. Mungkinkah dengan bala besar ini kita akhirnya sedar bahawa kita selama ini amat kurang bersyukur kepada-Nya?

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”
(Surah ar-Rahman, ayat 13)