Resipi Serawa Pulut Durian Yang Sedap Dan Mempesona

Bagi peminat durian yang ingin menikmati kelazatan Raja Buah tersebut dengan cara yang sedikit berbeza, cubalah resipi serawa pulut durian ini.

Tidak kira durian jenis Musang King, Udang Merah, XO atau D24, resipi serawa pulut durian ini cukup mudah, dijamin sedap dan mempesona sesiapa sahaja.

Baca: 14 Petua Dan Tip Yang Wajib Diketahui Oleh Setiap Penggemar Durian

Foto Mat Gebu,TiffinBiru.com
– Foto Mat Gebu/TiffinBiru.com

Bahan-bahan untuk membuat serawa

(1) Sebiji durian yang dikeluarkan isinya (boleh mengikut kesesuaian saiz dan kuantiti yang diingini).

(2) 1 liter santan kelapa segar.

(3) 1 ketul gula melaka yang dipotong kecil*.

(4) 1/2 cawan gula pasir*.

(5) 1 helai daun pandan yang disimpul*.

(6) 2 cawan air*.

*Bahan-bahan (3) hingga (6) ini perlu dimasak bersama dengan menggunakan api kecil sehingga gula menjadi larut, ditapis dan disejukkan.

(7) 1 sudu besar tepung gandum dan 3 sudu besar air yang dicampur dan digaul rata.

(8) Secubit garam.

(9) Gula secukup rasa (sekiranya perlu).

Bahan-bahan untuk membuat pulut

(1) 500g pulut yang siap dicuci dan direndam selama 1 jam sebelum ditoskan.

(2) 350ml santan kelapa segar.

(3) Garam secukup rasa.

(4) 1 sudu kecil minyak masak (atau minyak kelapa).

(5) 1 helai daun pandan yang disimpul.

Foto Mat Gebu,TiffinBiru.com
– Foto Mat Gebu/TiffinBiru.com

Cara-cara untuk membuat serawa

(1) Masukkan santan, daun pandan, gula melaka dan durian ke dalam periuk dan didihkan menggunakan api yang kecil.

(2) Tambahkan secubit garam bagi menimbulkan rasa lemak.

(3) Biarkan ianya mendidih perlahan-lahan dan tambahkan sedikit gula sekiranya rasanya kurang manis.

(4) Tuang bancuhan tepung gandum dan masak selama 2 hingga 3 minit lagi sehingga kuah menjadi pekat.

Cara-cara untuk membuat pulut

(1) Panaskan pengukus dan letakkan pulut tadi ke dalam loyang.

(2) Masukkan daun pandan, santan, garam dan minyak masak.

(3) Gaul rata dan kukus dengan api besar selama 20 minit.

(4) Gemburkan pulut tadi dan sambung lagi proses mengukus selama 5 minit atau sehingga pulut betul-betul masak.

Resipi serawa pulut durian ini dah pun siap. Sesuai dihidang untuk seisi keluarga ketika sesi minum petang. Memang sedap dan mempesona!

Sumber: TiffinBiru.com