Kraft Perkenalkan Ais Krim Berperisa Makaroni Dan Keju

Syarikat pengeluar keju terkemuka, Kraft telah memperkenalkan ais krim terbaru yang berperisa hidangan makaroni dan keju.

Makaroni dan keju atau lebih popular disebut sebagai mac and cheese, merupakan salah satu hidangan popular kegemaran kanak-kanak.

Jika digabungkan dengan ais krim yang juga amat digemari oleh kanak-kanak, maka sudah tentu hasilnya ialah – ais krim berperisa mac and cheese!

Kombinasi yang agak ‘tidak masuk akal’ atau segelintir yang menganggapnya sebagai ‘genius’ ini dihasilkan dengan kerjasama rangkaian kedai ais krim popular, Van Leeuwen.

Perisa terbaru ais krim ini dilancarkan sempena Hari Makaroni Dan Keju Kebangsaan di Amerika Syarikat yang disambut pada 14 Julai yang lalu.

Kraft dan Van Leeuwen turut menyediakan sebuah trak ais krim khas di hadapan Union Square, New York yang menawarkan orang ramai satu skup percuma bagi mempromosikan perisa terbaru ini.

Selain itu, ais krim ini boleh ditemukan di semua rangkaian kedai ais krim Van Leeuwen di seluruh New York, Los Angeles dan Houston.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk keluar dari rumah, aiskrim ini turut menawarkan pembelian secaran pesanan dalam talian.

Baca juga: Subway Malaysia Perkenalkan Sandwic Citarasa Tempatan Pertama – ‘Rendang Sub’

Tinjauan mendapati orang ramai berpusu-pusu mengerumuni lokasi Van Leewen bagi mendapatkan ais krim yang ditawarkan pada harga AS$12/pint atau lebih kurang RM50/setengah liter ini.

Foto VanLeeuwenIceCream.com
– Foto VanLeeuwenIceCream.com

Ramai yang ditemui juga memuji kombinasi unik ini dan memberi gambaran keenakan rasanya yang ‘manis-manis tapi masin’.

Rasanya memang sedap,” komen Addie Benge yang sanggup beratur panjang demi mendapat peluang terawal untuk merasa ais krim ini.

Seperti yang sudah dijangka, rasanya macam manis-manis tapi ada masin sikit. Rasa macam vanilla sikit pun ada juga,” jelasnya lagi.

Seorang lagi yang tidak mahu dikenali berkata, “Rasanya sunggup sedap. Manis-manis dan masin-masin. Saya sangat menyukainya.”

Ais krim makaroni dan keju ini ternyata amat popular buat masa ini bukan sahaja di sekitar New York, malah turut mendapat sambutan di tempat-tempat lain.

Khabarnya, trafik yang tinggi telah menyebabkan operasi laman web rasmi Kraft tergendala buat sementara waktu dan perisa edisi terhad ini juga sudah habis terjual di kedai dan di atas talian.

Agaknya warga Amerika belum pernah mencuba ‘ais krim roti’ yang dijual di pintu pagar sekolah-sekolah di Malaysia. Pasti ‘laku keras’ kalau mereka mencuba kombinasi ini pula.

Sumber: NBC New York