Cabaran Dan Dugaan Yang Dilalui Oleh Jemaah Haji Tanah Melayu Pada 1924

Ikuti kisah dan pengalaman jemaah haji yang dilalui oleh Allahyarham Haji Abdul Majid bin Zainuddin, Pegawai Haji Tanah Melayu yang pertama dilantik oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat di bawah pentadbiran British.

Beliau telah mencatatkan pengalaman menarik beliau menunaikan haji pada tahun 1924 yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang menginsafkan untuk tatapan bersama rakyat Malaysia pada hari ini.

Sebelum kewujudan kapal berenjin wap yang pertama di Tanah Melayu iaitu kapal P.S. Sesostris pada tahun 1841, jemaah haji ketika itu hanya menumpang kapal-kapal layar pedagang Arab dari Yaman yang berlabuh di Aceh.

Baca juga: Arab Saudi Akhirnya Iktiraf Vaksin Sinovac

Pada masa itu, pelayaran dari Tanah Melayu ke Jeddah memakan masa berbulan-bulan dan bergantung pada arah tiupan angin. Penggunaan kapal wap berjaya memendekkan tempoh pelayaran kepada sekitar 3 minggu sahaja.

Namun, di sebalik kebaikan teknologi kapal wap itu, muncul pula golongan kapitalis yang mengambil kesempatan membawa barang-barang dagangan yang diisi di bahagian bawah dek kapal dan membawa jemaah haji yang ditempatkan di bahagian atas dek kapal.

Jemaah haji terpaksa bersesak-sesak sehingga menyukarkan mereka untuk bergerak dan mengerjakan solat. Mereka juga terpaksa berhimpit-himpit untuk memasak menggunakan kayu api.

Hinggakan ada yang terpaksa membuang air besar di tempat duduk sendiri dan menyebabkan berlakunya penyebaran penyakit. Ramai jemaah haji turut meninggal dunia ketika dalam pelayaran.

Setelah bertahun-tahun, Haji Abdul Majid akhirnya berjaya mendesak penggubalan Merchant Ships Ordinance 1929 yang menjaga kebajikan jemaah haji.

Kos menunaikan haji pada tahun 1924 ialah sekitar 500 hingga 600 ringgit Malaya. Jemaah haji mula berlayar pada bulan Rejab iaitu 5 bulan sebelum bulan Haji/Zulhijjah.

Kebiasaanya, sebelum berangkat menunaikan haji, kenduri doa selamat akan diadakan oleh keluarga masing-masing.

Terdapat dua pelabuhan untuk berangkat ke Mekah pada masa itu iaitu di Singapura dan Pulau Pinang. Pelayaran dari Tanah Melayu ke Mekah pula mengambil masa antara 13 hingga 17 hari.

Sebelum sampai ke pelabuhan Jeddah, kapal akan singgah di Pulau Camaran yang terletak sekitar 500 batu atau 800km dari pelabuhan Jeddah untuk dikuarantinkan.

Foto Facebook
– Foto Facebook

Semua jemaah juga dikehendaki untuk mandi dengan air garam dan mencuci pakaian mereka dengan wap pembasmi kuman.

Kapal laut hanya dibenarkan untuk berlabuh sekitar 5 batu atau 8km dari pelabuhan kerana pelabuhan Jeddah dipenuhi dengan batu karang.

Dari kapal tersebut, jemaah haji akan menaiki perahu Arab yang dinamakan Dhow bersama semua barangan mereka menuju ke pelabuhan Jeddah.

Baca juga: Lebih Setahun Pandemik COVID-19 Berlangsung, Beginilah Suasana Di Sekitar Kaabah Yang Amat Menginsafkan

Jemaah haji seterusnya menaiki kereta keldai ke rumah tumpangan masing-masing di kota Jeddah yang ketika itu sangat kotor, berdebu serta dipenuhi dengan banyak nyamuk dan lalat.

Dalam menempuhi perjalanan ke Mekah dan Madinah pula, jemaah haji dari Tanah Melayu sering diduga dengan bermacam-macam lagi kejadian.

Di antaranya ialah, bekalan air mereka sering dicuri oleh orang Arab ketika waktu malam. Ini menyebabkan mereka sentiasa berada di dalam kehausan sepanjang perjalanan ke Mekah.

Jemaah haji juga tidak dibenarkan untuk mengambil air telaga yang dimiliki oleh puak-puak Arab Badwi. Mereka terpaksa membayar jika hendak membeli air yang dijual oleh Arab Badwi di dalam bekas yang diperbuat dari kulit kambing.

Bagi mengelak cuaca yang panas, perjalanan menaiki unta ke Madinah biasanya bermula dari pukul 4 petang sehingga pukul 4 pagi.

Foto Facebook
– Foto Facebook

Ketika waktu malam, rombongan jemaah haji juga sering terdedah dengan bahaya rompakan dan peras ugut oleh puak-puak Arab Badwi.

Ada yang dikurung sehingga hampir dua minggu, malah ada juga di antara jemaah haji dari Tanah Melayu ini ditemui mati dibunuh.

Semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, perkara ini tidak berlaku kerana setiap rombongan jemaah haji akan diiringi oleh tentera-tentera.

Selepas menempuhi perjalanan yang penuh dugaan dan amat mencabar, akhirnya jemaah haji Tanah Melayu tiba di kota Madinah.

Setiap jemaah mula menangis teresak-esak apabila pertama kali melihat masjid dan makam Nabi SAW ketika masih berada di atas unta.

Sumber: Facebook Hasanuddin Yusof