Subway Lancar Laman Web Khas Bagi Menjelaskan Isu ‘Keaslian’ Ikan Tuna Yang Digunakan

Keaslian ikan tuna yang digunakan oleh Subway baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi dan dipertikaikan oleh ramai pihak.

Orang ramai menjadi sangsi dan tertanya-tanya mengenai keaslian sebenar ikan tuna yang digunakan Subway selama ini sama ada benar-benar 100% asli atau sekadar gimik pemasaran semata-mata.

Isu mula timbul awal tahun ini apabila The Washington Post melaporkan dua pelanggan Subway membawa kes ini ke mahkamah kerana ‘tertipu’ dengan Subway.

Foto SubwayTunaFacts.com
– Foto SubwayTunaFacts.com

The New York Times juga pernah melaporkan bahawa ikan tuna premium yang digunakan sekian lama dalam pembuatan sandwic Subway sebenarnya ‘bukan’ ikan tuna sebenar.

Dakwaan The New York Times tersebut menjadikan isu ini semakin ‘panas’ kerana menurut akhbar tersebut, 3 sampel yang diambil sekitar Los Angeles mendapati tiada langsung DNA tuna di dalamnya.

Menurut akhbar itu juga, Food and Drug Administration (FDA) hanya mengklasifikasikan 15 spesies ikan yang boleh dilabel sebagai ikan tuna.

Hasil ujian makmal mendapati, dari 5 spesies ikan tuna yang digunakan dalam ujikaji, tiada satu pun darinya ikan tuna yang digunakan oleh Subway.

Baca juga: Subway Malaysia Perkenalkan Sandwic Citarasa Tempatan Pertama – ‘Rendang Sub’

Jurucakap Subway dipetik berkata, “Hasil kaedah pengujian DNA ke atas protein yang telah diubah seperti tuna yang telah dimasak adalah kurang tepat dan tidak boleh diterima begitu sahaja.

Ketika ujikaji terperinci dilakukan di makmal yang mempunyai kelengkapan khas untuk mengesan protein yang telah diubah, DNA ikan tuna memang ternyata positif terkandung di dalamnya,” tambah beliau.

Foto SubwayTunaFacts.com
– Foto SubwayTunaFacts.com

Menurut pakar, memang menjadi kebiasaan DNA tuna tidak dapat dikesan jika sampel tersebut mengandungi tuna yang telah dimasak dan ini tidak bermakna sampel tersebut tidak mengandungi tuna langsung,” petikan dari laman web tersebut.

Dalam temu bual bersama CNN baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Subway, John Chidsey berkata, laman web baru tersebut akan merungkai segala persoalan saintifik pelanggan Subway.

Saya berharap ini akan meletakkan fakta yang jelas di luar sana dan menyelesaikan terus tanggapan yang salah ini,” kata beliau.

“TUNA SUBWAY IALAH TUNA SEBENAR.” Kata-kata ini terpampang besar di muka hadapan laman web tersebut.

Layari laman web yang menjelaskan tentang isu keaslian ikan tuna Subway ini di https://SubwayTunaFacts.com

Sumber: Today.com