Bakal Jadi Tumpuan Bergambar, Saloma Link Dibuka Secara Rasmi Hari Ini

Bakal menjadi tarikan baharu di ibu negara, jambatan pejalan kaki Saloma Link menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dibuka secara rasmi pada pukul 2.30 petang ini.

Saloma Link dibina berhampiran Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), menghubungkannya dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh dari KLCC.

Pengguna akan berpeluang mengambil gambar berlatarkan KLCC di dua kawasan bergambar yang disediakan.

Saloma Link Dibuka Hari Ini

Jambatan sepanjang 370 meter ini mengetengahkan seni bina unik berkonsepkan sirih junjung dan akan menjadi kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara ke Kampung Baru, malah akan menjadi simbol ikonik baharu ibu negara.

Lebih menarik lagi, Saloma Link ini dihiasi sistem pencahayaan canggih iaitu sebanyak 4,100 lampu LED pada bahagian keseluruhan bumbung yang boleh bertukar warna agar ia kelihatan lebih mempesona pada waktu malam.

Laluan pejalan kaki di jambatan ini selebar 4 kaki dan boleh menampung 200 orang dalam satu masa. Bukan itu sahaja, laluan ini juga mesra awam kerana mempunyai slot yang dibina khas di sepanjang tangga untuk memudahkan mereka membawa basikal ke jambatan ini.

Dengan kecantikan yang dimiliki Saloma Link -bersempena nama biduanita negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, bagaimanapun tidak dibuka sepanjang masa demi mengelak berlakunya vandalisme. Berkemungkinan laluan jambatan ini dibuka sama seperti waktu operasi LRT Kelana Jaya.