Resipi Terakhir Siti Sarah

Arwah Siti Sarah sempat berkongsi resipi masakannya yang terakhir ‘Ketam Sweet and Sour Chinese Style’ di Instagram sehari sebelum beliau dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan COVID-19.

Arwah kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), namun akhirnya dijemput Ilahi pada hari Isnin, 9 Ogos 2021 jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM.

Siti Sarah menjadi peserta Gegar Vaganza ketiga yang kembali ke Rahmatullah selepas Nassier Wahab pada 2019 dan Maya Matahari pada 2020.

Jenazah beliau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak ketika seluruh Malaysia masih lagi terkejut dan sedang meratapi pemergiannya.

Resipi terakhir Siti Sarah yang berdurasi 3 minit 30 saat ini dikongsikan di Instagram milik beliau dan setakat ini telah ditonton sebanyak 3.5 juta kali.

Terima kasih Ameera kerana sudi menunjukkan cara-cara untuk menyediakan resipi ini yang dapat dijadikan pengubat rindu peminat-peminat Siti Sarah.

Bahan-bahan:

1) Ketam yang siap disiang dan dicuci.

2) 6 ulas bawang putih dan halia sebesar ibu jari yang siap dicincang.

3) 2 sudu besar cili kering yang dikisar atau cili boh.

4) 2 sudu besar sos cili dan sos tiram.

5) 1 sudu besar sos tomato dan cuka hitam.

6) 3 sudu kecil kicap cair.

7) 2 sudu besar tepung jagung yang siap dibancuh bersama sedikit air.

8) 1 mangkuk air.

9) 2 biji putih telur.

10) Gula dan garam secukup rasa.

Baca juga: Resipi Serawa Pulut Durian Yang Sedap Dan Mempesona

Cara-cara:

1) Tumiskan 6 ulas bawang putih dan halia sebesar ibu jari yang siap dicincang ke dalam minyak yang panas sehingga naik bau.

2) Tumiskan pula 2 sudu besar cili kering yang dikisar atau cili boh sehingga pecah minyak.

Foto Facebook
– Foto Facebook

3) Masukkan 2 sudu besar sos cili dan sos tiram, 3 sudu kecil kicap cair, 1 mangkuk air, 1 sudu besar cuka hitam, 1 sudu makan sos tomato serta gula dan garam secukup rasa.

4) Masukkan ketam dan gaul rata sehingga ketam tersebut masak.

Foto Facebook
– Foto Facebook

5) Tambahkan adunan 2 sudu besar tepung jagung yang siap dibancuh bersama sedikit air.

6) Masukkan 2 biji putih telur.

Foto Facebook
– Foto Facebook

7) Gaul rata dan biarkannya ditutup dan dimasak selama kira-kira 5 minit lagi.

8) Matikan api dan hidangkan.

Foto Facebook
– Foto Facebook

Selamat mencuba resipi terakhir dari Siti Sarah ini.

Salam takziah buat keluarga Siti Sarah terutama sekali suami arwah iaitu Shuib dan anak-anaknya Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.

Siti Sarah Raissuddin (15 September 1984 – 9 Ogos 2021).

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

Foto Facebook
– Foto Facebook

Sumber: MyResipi.com, Wikipedia

Kredit: Ameera