Hanya Perlu Imbas Muka Untuk Naik Kapal Terbang, AirAsia Perkenalkan Sistem FACES

AirAsia telah melancarkan versi terbaharu sistem imbas muka atau pengecaman wajahnya, FACES yang menjadikan perjalanan dan pengalaman membeli-belah lebih seronok dan lancar.

FACES terbaharu ini merupakan versi naik taraf sistem imbas muka Fast Airport Clearance Experience System yang dilancarkan AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru pada 2018 yang lalu.

Sistem biometrik ini akan digunakan secara menyeluruh melalui aplikasi Super App AirAsia, yang didakwa syarikat tersebut sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.

Pada masa ini, FACES baharu tersebut hanya boleh digunakan untuk mereka yang menaiki penerbangan di Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2).

Walau bagaimanapun, ianya bakal diperluaskan lagi ke semua lapangan terbang di seluruh Malaysia dalam jangka masa 12 bulan akan datang.

Foto AirAsia
– Foto AirAsia

Menurut AirAsia, tidak lama lagi, dengan hanya perlu imbas muka, FACES membolehkan pengguna mendaftar masuk, menurunkan bagasi sendiri, melalui pemeriksaan keselamatan dan banyak lagi.

Di samping itu, syarikat penerbangan tersebut juga merancang untuk melancarkan ciri-ciri lain termasuk keupayaan untuk membayar tiket penerbangan, tambang perjalanan, makanan serta barangan dalam penerbangan, penghantaran makanan dan barangan.

Perkhidmatan penghantaran makanan juga bakal menggunakan FACES bagi membuat pengesahan penerimaan agar makanan tersebut tidak tersalah hantar kepada orang lain.

Baca juga: ‘Now Everyone Can Travel’ – Tagline Baharu Syarikat AirAsia

Selain itu, teknologi biometrik yang digunakan tersebut juga boleh dipertingkatkan lagi penggunaannya sehingga ke proses mendaftar masuk di hotel-hotel pada masa hadapan.

AirAsia juga menjelaskan, walaupun penerbangan ditempah oleh orang lain, proses daftar masuk dan menaiki pesawat masih lagi boleh dibuat menggunakan FACES selagi butiran dalam tempahan sepadan dengan butiran yang berdaftar dalam aplikasi tersebut.

Bagi keluarga yang melancong bersama, terdapat juga ciri untuk mendaftar masuk secara berkumpulan, tetapi ia masih memerlukan setiap individu yang berumur lebih daripada 18 tahun untuk mendaftar dan disahkan oleh FACES.

Walaupun buat masa ini kemudahan FACES hanya terdapat di Malaysia, AirAsia menjelaskan bahawa mereka kini telah pun mendapat kelulusan awal untuk mula menggunakan teknologi tersebut di negara-negara lain.

Untuk suku pertama 2022 misalnya, AirAsia bakal memperluaskan lagi penggunaan sistem pengecaman wajah tersebut di Filipina.

Kini, sesiapa pun boleh terbang – dengan hanya perlu imbas muka. Kurang handsome atau tak cukup ayu pun boleh!

Sumber: Lowyat.NET