Kisah Menarik Di Sebalik Rahsia Kejayaan Krem Tarik – Ais Krim Tarik Pertama Buatan Malaysia

Penggemar ais krim di seluruh negara kini berpeluang untuk pertama kali merasai keenakan ais krim tarik yang dibawakan oleh Krem Tarik.

Lebih membanggakan, produk ais krim tarik tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh Krem Tarik yang merupakan perusahaan tempatan sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, Krem Tarik sebenarnya diasaskan oleh anak muda yang bernama Azareil dan Elmira yang masing-masing hanya berumur 20 dan 17 tahun.

Ditubuhkan pada 28 Ogos 2021, dalam masa hanya tiga bulan, mereka telah pun berjaya borkolaborasi dengan restoran terkemuka sehingga menjana pulangan lebih RM27,000 setakat ini.

Baca juga: Resipi Aiskrim Malaysia Ala Magnum Viral Yang Anda Perlu Cuba

Bagi mereka yang pernah mengunjungi negara Turki, pastinya juga pernah berpeluang untuk merasai keunikan rasa sejenis ais krim yang diberi nama dondurma.

Ais krim yang boleh ditarik-tarik tersebut amat popular dan seringkali menjadi tumpuan di kawasan-kawasan tarikan pelancong.

Resipi yang digunakan untuk menghasilkannya melibatkan dua jenis bahan yang amat mahal dan sukar didapati iaitu sahlep dan mastic.

Sahlep merupakan bahan yang terdapat dalam akar orkid dan mastic pula adalah damar atau sejenis getah pokok.

Sahlep kini dianggap sebagai tumbuhan terancam dan kerajaan Turki telah mengambil keputusan untuk mengharamkan eksport bahan ini.

Foto Instagram @KremTarik
– Foto Instagram @KremTarik

Kisah menarik di sebalik kejayaan Krem Tarik ini menyaksikan bagaimana Azareil dan Elmira terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mencipta sendiri resipi baru tanpa menggunakan dua bahan tersebut.

Setelah berkali-kali menemui jalan buntu dan hampir berputus asa untuk mencari ganti dua bahan penting tersebut, percaya atau tidak, Azareil akhirnya mendapat ilham ketika sedang tidur.

Setelah terjaga dari mimpi, beliau terus bergegas mendapatkan bahan tersebut dan akhirnya terciptalah ais krim tarik buatan Malaysia.

Foto Instagram @KremTarik
– Foto Instagram @KremTarik

Dalam minggu pertama melancarkan Krem Tarik, ais krim tarik ini telah laku ‘keras’ sehingga pernah berjaya terjual sehingga 150 pain dalam satu hari yang menjana hasil sebanyak RM4,500.

Setiap pain ais krim tarik ini berharga di antara RM27 hingga RM33 dan boleh didapati dalam perisa Blue Comet, Matcha, Pistachio, Milk & Cereal, Chocolate dan Coffee.

Menariknya, 2% dari hasil jualan setiap pain akan disumbangkan untuk kebajikan manakala selebihnya digunakan untuk memperkembangkan lagi perniagaan mereka.

Buat masa ini, Krem Tarik masih lagi beroperasi dari rumah dan berharap bakal dapat membuka premis sendiri tidak lama lagi.

Bagaikan resipi rahsia Mr. Krabs dan Krabby Patty, Azareil dan Elmira percaya resipi rahsia ais krim tarik ciptaan mereka ini tidak pernah digunakan oleh sesiapa di mana-mana jua pun sebelum ini.

Sumber: Vulcan Post