Taman Tema Upin & Ipin Dengan Versi Interaktif Kampung Durian Runtuh Bakal Dibuka

Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. bakal membina taman tema watak animasi tempatan popular, Upin & Ipin tidak berapa lama lagi.

Syarikat produksi di sebalik siri animasi komputer tersebut sedang mempertimbangkan untuk membina replika sebenar perkampungan fiksyen Kampung Durian Runtuh di mana pasangan kembar itu tinggal.

Menurut satu laporan, Pengarah Urusan, penerbit dan pengasasnya, Burhanuddin Md. Radzi baru-baru ini telah berkongsi rancangan untuk membina taman tema Upin & Ipin di Facebook.

Dalam beberapa siri kiriman, Burhanuddin mendedahkan bahawa satu lokasi yang sesuai telah ditemui di Johor Baru.

Taman tema tersebut akan menampilkan versi interaktif Kampung Durian Runtuh dari siri animasi Upin & Ipin yang dijangka bakal mendapat sambutan dari peminat-peminatnya.

Foto Les’ Copaque Production
– Foto Les’ Copaque Production

“Insya Allah, mudah-mudahan dapat direalisasikan kali ini. Kita akan mulakan segera perancangan dan diharapkan ia akan dapat mula beroperasi pada Januari 2023 nanti.

“Ianya nanti bakal menjadi tarikan baharu di JB (Johor Baru) dan dibina khas untuk semua peminat kami di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya.

Tambah Burhanuddin lagi, harga tiket yang ditawarkan adalah berpatutan untuk semua lapisan masyarakat manakala lokasi taman tema tersebut merupakan satu faktor yang penting.

Beliau juga menjelaskan sebelum ini beliau terpaksa menolak tawaran pada 2012 yang lalu untuk membina taman tema Upin & Ipin di atas sebidang tanah seluas 42 ekar di Ipoh, Perak di mana terletaknya Movie Animation Park Studios (MAPS).

“Memandangkan kita hanyalah merupakan sebuah populasi yang kecil, amat penting untuk menarik pelancong asing untuk mengunjungi taman tema tersebut. Ipoh bukanlah tapak yang sesuai untuk pelancong asing.

“Dari KLIA, anda perlu menempuh perjalanan selama kira-kira tiga jam dan dari Pulau Pinang kira-kira dua jam. Ini amat menyukarkan pelancong.

“Memandangkan Johor mempunyai segala kemudahan yang memudahkan lagi untuk mereka datang, maka sebab itulah kami memilih JB,” jelas beliau lagi.

Baca juga: Taman Tema Pokemon Bakal Dibuka Di Jepun Tidak Lama Lagi

Burhanuddin turut mendedahkan, taman tema dengan harta intelek atau intellectual property (IP) tempatan adalah lebih baik daripada taman tema asing yang lebih mahal untuk dikendalikan.

Beliau turut menyentuh mengenai taman tema asing yang perlahan-lahan kehilangan daya tarikannya seperti Angry Bird Activity Park dan Sanrio Hello Kitty Town di Johor.

Les’ Copaque ditubuhkan pada 2005 dan telah menghasilkan siri Upin & Ipin sejak 2007. Tahun lepas, saluran Les’ Copaque menjadi yang pertama di Malaysia yang menerima Diamond Play Button Award dari YouTube kerana mempunyai lebih 10 juta pelanggan.

Awal tahun ini pula, siri Upin & Ipin mula ditayangkan menerusi perkhidmatan penstriman popular Netflix di UK dan Australia.

Sumber: New Straits Times