Tersilap Makan Cendawan Beracun, Keluarga Malang Ini Menderita Muntah Darah

Amat memilukan apabila cendawan yang dijadikan lauk makan tengah hari satu keluarga di Terengganu rupa-rupanya beracun sehingga menyebabkan mereka muntah darah.

Kejadian yang berlaku di Kampung Nyiur, Paka, Terengganu tersebut melibatkan sembilan beranak yang nyaris maut selepas menikmati hidangan sayur cendawan goreng.

Sebenarnya, terdapat banyak jenis cendawan yang boleh dimakan serta sering dijadikan pelbagai resipi masakan yang lazat.

Di antara cendawan yang boleh dimakan ialah cendawan tiram, cendawan butang, cendawan kukur, cendawan enokitake, cendawan shiitake dan banyak lagi.

Namun, jika tersilap langkah dan tidak berhati-hati, cendawan yang dimakan tersebut mungkin merupakan spesies beracun, boleh memudaratkan sehingga menyebabkan muntah darah dan maut.

Pada 8 November yang lalu, Nurul Musfirah Ghazali, 32, termasuk suaminya, Muhammad Nurhadi, 36, nyaris maut akibat makan cendawan.

Tujuh anaknya yang berusia antara 4 hingga 13 tahun yang turut sama memakan hidangan cendawan tersebut juga dimasukkan ke Hospital Dungun selama tiga hari.

Mujur anaknya yang paling bongsu iaitu yang baru berusia setahun lebih tidak menjamah langsung hidangan beracun tersebut.

Baca juga: Salad Romaine Risiko Keracunan Makanan

Menurut Nurul Musfirah, spesies cendawan tersebut memang selalu tumbuh di kebun sayurnya, namun dia hanya terlintas untuk memetiknya pada hari kejadian tanpa mengetahui ia sebenarnya beracun.

Foto Sinar Harian
– Foto Sinar Harian

Cendawan tersebut seterusnya digoreng bersama sayur kangkung dan kacang sebagai salah satu menu makanan tengah hari mereka sekeluarga.

Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena, terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut, rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah suami,” ujar beliau.

”Dalam keadaan tidak bermaya, kami mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek, ada yang mulut berbuih dan keluar darah. Allah saja yang tahu perasaan saya pada masa itu,” tambahnya lagi menceritakan detik-detik cemas ketika itu.

Dalam keadaan tidak bermaya, suami beliau, Muhammad Nurhadi cuba menggagahkan diri dengan memandu van serta membawa mereka sekeluarga ke klinik Kesihatan Paka, di sini untuk mendapat rawatan.

Mereka sekeluarga amat bernasib baik kerana sempat mendapatkan rawatan awal. Kini, kesemua anak mereka juga sudah dibenarkan pulang, namun masih memerlukan rawatan susulan.

Keluarga Nurul Musfirah yang turut berkongsi kejadian tersebut dalam media sosial berharap agar orang ramai lebih berhati-hati supaya kejadian yang sama dapat dielakkan.

Mereka yang gemar makan cendawan juga perlulah lebih cakna dengan insiden ini agar tidak lagi berlaku tersalah memilih cendawan beracun yang boleh menyebabkan muntah darah serta maut.

Sumber: Sinar Harian