‘Tangga Putrajaya’ Kini Semakin Popular Dan Jadi Tumpuan Untuk Aktiviti Keluarga

Tangga Putrajaya atau Putrajaya Steps yang kini dibuka untuk orang ramai semakin popular dan sering menjadi tumpuan keluarga untuk aktiviti beriadah bersama-sama.

Tinjauan mendapati, tangga ikonik yang terletak di Taman Putra Perdana, Putrajaya tersebut memang sangat popular di kalangan keluarga yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Ketika memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengilhamkan pembinaan tangga ini bersempena dengan 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya.

Mengulas lebih lanjut, Tan Sri Annuar Musa berkata, idea pembinaan tangga unik itu turut berdasarkan kisah kejayaan tangga ikonik lain di seluruh dunia.

Antara tangga-tangga ikonik yang lain ialah Tangga Selaron di Rio de Janeiro, Brazil, Tangga Joker di New York, Amerika Syarikat, Tangga Sepanyol di Rom, Itali dan Tangga Potemkin di Odessa, Ukraine.

Foto Jabatan Penerangan Malaysia
– Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Konsep tangga ikonik seperti Tangga Putrajaya yang popular di kalangan keluarga di Malaysia ketika ini adalah tangga kedua di Putrajaya selepas Tangga Alamanda.

Tangga Alamanda yang penuh ceria dan berwarna-warni tersebut terletak bersebelahan dengan pusat membeli belah Alamanda dan telah siap pada awal tahun 2019.

Tangga Putrajaya yang dibina di atas cerun menuju Mercu Tanda di Taman Putra Perdana ini pula telah dibuka kepada orang ramai sejak Oktober yang lalu.

Foto Jabatan Penerangan Malaysia
– Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Lokasinya amat strategik kerana terletak di hadapan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu jalan raya bulatan paling besar di dunia serta menghadap Medan Selera Laman Perdana.

Ia menjadi kesinambungan laluan pejalan kaki dari cerun Dataran Putra melalui Laman Perdana naik ke Mercu Tanda Putrajaya di Presint 1, Taman Putra Perdana dengan jarak 1km atau kira-kira 10 minit berjalan kaki sahaja.

Ketinggiannya dianggarkan 30 meter dan jarak pendakian dari bawah ke mercu tanda adalah sejauh kira-kira 200 meter.

248 anak tangga selebar tiga meter dibina di atas paksi lurus yang tidak curam bagi tujuan keselamatan. Ia turut dilengkapi dengan 4 plaza, 14 tapak hentian rehat dan 46 tiang lampu taman.

Baca juga: Cat Tangga Kuil Batu Caves Menyalahi Akta

Selain dari 8 jenis pokok renek berwarna-warni yang menghiasi bahagian tengah tangga, turut ditanam di kiri dan kanan tangga ialah pokok tekoma atau turut dikenali dengan nama Sakura Malaysia.

Ketika cuaca panas terik di Malaysia sekitar Mac hingga April pada setiap tahun, bunga tekoma atau nama saintifiknya tabebuia rosea yang berwarna merah jambu akan mekar dan mengindahkan lagi kawasan Tangga Putrajaya yang berkeluasan 4,995 meter persegi tersebut.

Mereka yang berkelapangan bolehlah cuba naik Tangga Putrajaya ni. Tapi, agak-agak kalau kurang stamina dan sering ‘pancit’ tu, memadailah dengan bergambar di bahagian ‘bawah-bawah’ sahaja, ok?

Sumber: Harian Metro, Utusan Malaysia