Guna Isi D24 Sebenar, Kek Durian Viral (KDV) Pernah Cecah 10 Ribu Tempahan Sebulan Hanya Dengan Beroperasi Dari Rumah

Bermula dengan hanya ‘suka-suka’, jualan Kek Durian Viral (KDV) akhirnya menjadi ‘gila-gila’ hinggakan pengasasnya sendiri sukar untuk mempercayainya.

Dengan slogan “Sebiji Tak Cukup”, nampaknya penangan kek durian KDV betul-betul ‘viral’ hinggakan ramai pelanggan rasanya sanggup beli sampai 8 biji!

Diusahakan oleh pasangan suami isteri yang berusia 33 tahun, Mohammad Nasruddin Shah Room dan Nor Fazliah Mohammed, semuanya bermula pada bulan Ogos 2019.

Pada mulanya, mereka berdua hanya menghasilkan kek secara ‘homemade’ dan melakukan jualan dari rumah mengikut permintaan.

“Bermula dengan mengambil tempahan 4 biji sehari. Kemudian, tempahan itu berulang berganda ganda sampai ditempah 100 biji kek sehari. Sebulan pernah cecah 10,000 biji kek dihasilkan,” jelas Nor Fazliah.

Pasangan yang sama-sama bercinta sejak di bangku sekolah tersebut kini memiliki dua bangunan operasi selain dari pejabat sendiri di Setia Alam, Selangor di bawah nama syarikat KDV Niaga Sdn. Bhd.

Foto BH Online
– Foto BH Online

Sebelum itu juga, sekitar tahun 2019, beliau yang pernah bekerja dalam bidang khidmat pelanggan sebelum menjadi suri rumah dan ibu kepada 4 cahaya mata berkata, ilham untuk membuat kek sebenarnya semata-mata untuk menghabiskan baki longgokan buah durian di rumah sahaja.

“Saya, suami dan anak memang ‘hantu durian’,” tambahnya lagi. “Baki buah yang ada terfikir nak buat kek berperisa durian. Jadi saya cuba buat resipi ilham ikut tekak sendiri dan suami.”

“Daripada untuk makan sendiri, terfikir nak menjualnya. Tak sangka ramai pula yang suka,” ujar graduan Ijazah Teknologi Alam Sekitar tersebut yang belajar ilmu bakeri hanya melalui kelas dalam talian sahaja.

Ketika menerima tempahan sehingga 100 biji kek sehari walaupun hanya beroperasi dari rumah mereka yang terletak di Bukit Kapar, Klang, mereka terpaksa meminta bantuan seorang jiran untuk membantu.

Kini operasi KDV melibatkan 20 orang staf di samping terdapat lebih dari 100 orang agen lagi di seluruh Malaysia.

Mohammad Nasruddin yang diberhentikan kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang tahun lalu juga kini sama-sama membantu memperkembangkan lagi perniagaan KDV.

Baca juga: Resipi Serawa Pulut Durian Yang Sedap Dan Mempesona

“Nak ikutkan ramai yang mengusahakan perniagaan kek durian. Tapi KDV menggunakan isi durian sebenar. Memang rasa asli dan tak ada unsur penipuan dalam kandungan bahan digunakan. Teksturnya juga lemak dan lembut,” menurut Nor Fazliah yang hanya menggunakan durian jenis D24 dari Pahang.

Kek durian yang dijual bersaiz 6 inci tetapi mempunyai pelbagai variasi lain dan dijual di antara RM30 hingga RM75 mengikut kuantiti isi durian yang digunakan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kek Durian Viral (KDV), sila layari https://beacons.page/kekdurianviral

Sumber: BH Online