Pertama Di Dunia, Kafe Bergerak BB2GO Pakai Motosikal Elektrik Mampu Hasilkan 400 Cawan Kopi Terus Kepada Pelanggan

BlackBixon2Go Sdn. Bhd. telah melancarkan motosikal elektrik atau electric vehicle (EV) yang diberi nama BB2GO atau BB2GO EV Coffee Bike yang dapat berfungsi sebagai kafe bergerak.

Langkah menjadikan motosikal elektrik sebagai kafe bergerak BB2GO ini merupakan strategi terbaru yang dirangka bagi kegunaan penjualan minuman kopi keluaran syarikat tersebut iaitu BlackBixon.

Dalam satu kenyataan akhbar, Pengarah Urusan BlackBixon2Go, Khoo Chee Kong berkata, BB2GO EV Coffee Bike adalah sebuah bar yang beroperasi sendiri dan tidak memerlukan sambungan elektrik untuk menjana tenaga kepada mesin kopi tersebut.

Hanya dengan sekali caj, bateri dari motosikal EV ini secara teknikalnya dikonfigurasi agar mampu menghasilkan sehingga 400 cawan kopi pada satu-satu masa.

BlackBixon2Go merupakan anak syarikat Ni Hsin Group Bhd. iaitu sebuah syarikat pengeluar produk besi keluli tahan karat terkemuka.

Baca juga: Berapa Cawan Kopi Yang Ideal Diambil Dalam Sehari?

“Dengan BB2GO EV Coffee Bike, anda seolah-olah merupakan seorang barista yang bekerja di sebuah kafe moden yang menghidangkan kopi espresso atau cappuccino di depan pelanggan itu sendiri,” jelas Khoo ketika majlis pelancaran BB2GO awal minggu ini.

Foto BB2GO.com
– Foto BB2GO.com

Turut diadakan di majlis tersebut ialah sesi memeterai MoU di antara BlackBixon2Go dengan Acasia Communications Sdn. Bhd. bagi pendigitalan konsep perniagaan baharu BB2GO menerusi perkhidmatan atas talian dan aplikasi telefon pintar.

Acasia yang merupakan salah satu syarikat kolaborasi bersama kumpulan Telekom Malaysia adalah di antara tujuh syarikat peneraju telekomunikasi yang menawarkan rangkaian perkhidmatan sambungan dan infrastruktur digital yang komprehensif di rantau ASEAN.

Motosikal elektrik ini juga dilengkapi dengan sistem GPS bagi memudahkan pelanggan untuk menjejaki tempahan dan lokasi BB2GO EV Coffee Bike pada setiap masa menerusi aplikasi BB2GO.

BlackBixon2Go turut merancang untuk mengembangkan konsep BB2GO EV ke seluruh negara ASEAN dan menghasilkan motosikal elektrik secara berkolaborasi dengan pengeluar EV terkemuka dari China.

Foto BB2GO.com
– Foto BB2GO.com

Antara menu minuman kopi BB2GO yang dapat dilihat menerusi portalnya di https://www.bb2go.com ialah Roasted Almond, Caramel, French Vanilla, Hazelnut, Mocha, Cafe’ Au Lait dan bermacam-macam lagi yang dijual di antara RM4.90 hingga RM7.50 sahaja.

Lepas ni, mungkin abang-abang yang meniaga gerai rojak dan cendol pun boleh mengikut jejak langkah BB2GO dengan menaik taraf perniagaan menjadi kafe motosikal elektrik juga.

Sumber: BH Online, BB2GO.com