Wajib Pergi! Rasai Pengalaman Menakjubkan Di MORI Building Digital Art Museum, Tokyo

Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk ke Tokyo dalam masa terdekat ini, bolehlah mula merancang untuk berkunjung ke salah satu tarikan menarik di Tokyo, Mori Building Digital Art Museum. Muzium ini diasaskan oleh Mori Building Co.Ltd. yang merupakan salah sebuah pemaju lanskap dan juga teamLab (pengumpul seni digital yang terkemuka di dunia).

Muzium seni digital ini mula dibuka kepada orang ramai sejak 21 Jun yang lalu dan antara pameran yang dipaparkan di muzium ini adalah merangkumi lebih kurang 50 hasil seni yang kreatif dan interaktif! Dalam erti kata lain, kita boleh berinteraksi dengan hasil seni diorang. Setiap hasil seni akan ‘dimulakan’ apabila anda melalui tiap-tiap satu kawasan sebab kesemuanya disertakan dengan alat pengesan atau sensor pergerakan.

Apa yang menarik adalah setiap karya ini tidak mempunyai pemisah. Ada karya yang melengkapi hasil seni yang lain, ada yang memenuhi segenap ruang pameran dan sebagainya. Setiap hasil seni dihasilkan menggunakan 520 komputer dan 470 projektor. Namun, jika semua program ini ditutup, yang anda nampak hanyalah sebuah dewan besar yang kosong.

Pameran muzium yang diberi tajuk ‘Borderless World’ ataupun Dunia Tanpa Sempadan, ia bukan sahaja tiada papan tanda atau petunjuk, malahan peta kawasan juga tidak disediakan untuk pengunjung. Jadi, anda bebas bergerak ke mana sahaja sekitar dalam dewan besar muzium ini. Uniknya, setiap karya akan bertindak balas dengan pergerakan dan sentuhan. Jadi, anda digalakkan untuk menyentuh setiap karya di sini bagi menghasilkan karya-karya yang ‘hidup’.

Menarik bukan? Rasailah peluang dan pengalaman berharga sebegini sekiranya anda berkesempatan ke negara matahari terbit ini. Untuk berkunjung ke muzium seni ini, lokasinya berada di :

Aomi, Koto-ku, Tokyo 138 Odaiba Palette Town, Tokyo 135-0064, Jepun.

Waktu lawatan :

11 pagi – 9 malam (hari biasa),
10 pagi – 10 malam (sabtu)
10 pagi – 8 malam (ahad)

Bayaran masuk :  

3200 yen (RM115 untuk dewasa)
1000 yen (RM36 untuk kanak-kanak)

Untuk ketahui lanjut dan pembelian tiket masuk, boleh dapatkannya di sini.

Jom saksikan video yang dirakam oleh MORI Building Digital Art Museum sebagai gambaran berada di dalam muzium ni :

Photo Credit : teamLab