Percutian Keluarga : Homestay Atau Hotel Lebih Berbaloi?

Bila tibanya cuti sekolah yang panjang, pasti akan keluar dialog si anak ‘Mak…ayah…cuti sekolah ni kita nak pergi bercuti ke mana?’. Ini bermakna anda perlu berbincang dengan pasangan dan merancang sebuah percutian demi tidak menghampakan anak-anak. Ketika membuat perancangan, isu utama yang sering difikirkan sudah tentu pemilihan tempat tinggal sama ada di homestay (inap desa) atau hotel.

Perlu faham terlebih dahulu bahawa perbezaan yang paling ketara antara homestay dengan hotel ialah homestay menyediakan sebuah rumah manakala hotel menyediakan sebuah bilik. Oleh itu, kami kongsikan sedikit panduan bagi memudahkan anda dapat membuat keputusan yang bijak untuk percutian yang berkualiti.

Lokasi

Perkara pertama dan utama yang perlu anda tentukan adalah lokasi atau ke mana destinasi percutian anda sekeluarga? Jika anda tentukan mahu tinggal di homestay dan sesuai dengan destinasi percutian, anda tidak perlu risau jika hendak mencari homestay kerana lokasi homestay bertaburan dan terletak di mana-mana termasuklah di pusat bandar, kawasan taman perumahan dan juga kawasan kampung.

Namun, berbeza pula dengan hotel kerana lokasi hotel biasanya tertumpu di pusat-pusat bandar dan tempat-tempat peranginan. Jika anda hendak bercuti di kawasan kampung, mengunjungi majlis-majlis perkahwinan atau menghantar anak ke institut pendidikan, pasti sukar untuk mencari hotel-hotel yang terdekat.

Harga

Penentuan harga untuk homestay adalah bergantung kepada jenis homestay tersebut sama ada jenis apartment, teres setingkat, teres 2 tingkat atau banglo, manakala harga untuk sebuah hotel dibezakan dengan saiz biliknya.

Jika hendak dibandingkan antara harga homestay dengan hotel berdasarkan saiznya, sememangnya homestay lebih murah dari hotel. Kalau anda berseorangan atau dalam kumpulan yang kecil lebih jimat kalau menginap di hotel tetapi kalau anda bercuti bersama keluarga yang besar adalah lebih sesuai jika menginap di homestay.

Selain itu, harga untuk homestay boleh diajak berbincang dengan tuan rumah supaya dapat harga yang berpatutan manakala harga hotel adalah tetap dan tidak boleh dirunding.

Kemudahan

Panduan ini antara yang perlu dititikberatkan. Bercuti dengan keluarga sudah pasti anda turut memikirkan bajet makan minum, tol, minyak, bayaran tiket masuk dan sebagainya. Jadi, sekiranya anda memilih untuk berjimat-cermat, anda perlu memilih homestay sebagai tempat penginapan anda sekeluarga. Ini kerana homestay biasanya menyediakan kemudahan yang lengkap seperti tempat memasak, alatan memasak, peti ais, seterika, cerek elektrik, meja makan dan pinggan mangkuk.

Menjadi kelebihan jika anda sekeluarga penat dengan aktiviti seharian, anda boleh menggunakan khidmat penghantaran pesanan menu makanan terus ke bilik tanpa perlu turun ke dewan makan hotel. Ada sesetengah hotel yang menyediakan tempat masak air dan peti ais bersaiz kecil, tetapi ‘kemampuannya’ hanya sesuai untuk membancuh air panas “3 in 1” dan menyediakan mi segera (cawan) sahaja.

Jika anda ingin bercuti lama terutamanya di kawasan peranginan, pilihlah homestay yang mempunyai mesin basuh. Jika menginap di hotel tiada mesin basuh disediakan tetapi hanya ada kemudahan dobi dengan caj tambahan. Kemudahan akses internet percuma juga biasanya disediakan oleh hotel berbanding homestay, anda perlu menggunakan data internet sendiri.

Kapasiti Tetamu

Homestay sudah tentu dapat menampung kapasiti yang banyak, lebih fleksibel dan ekonomi. Jika hendak ditambah orang pun tidak menjadi masalah yang besar sehinggakan ada homestay yang menyediakan tilam, bantal dan cadar tambahan tanpa perlu membayar lebih.

Berbanding pula jika menginap di hotel kerana di hotel ada had tetamu yang boleh menginap untuk setiap bilik dan anda perlu menambah bayaran jika hendak menambah tilam dan bantal. Namun menariknya, kebanyakan hotel menyediakan kemudahan spa, gym, bilik permainan kanak-kanak dan kolam mandi awam mahupun persendirian. Kelebihan ini menjadi tarikan ibu bapa kerana anak-anak pasti sukakannya.

Privasi

Sekiranya anda menempah hotel, tanya pada diri adakah anda sekeluarga betul-betul dapat memanfaatkan masa bercuti dengan sebaiknya? Biasanya suasana hotel nampak lebih eksklusif, mewah, elegan dan lebih sunyi kerana menjaga privasi penginap lain.

Namun, anda mungkin terpaksa menempah dua buah bilik kerana tidak dapat menampung ramai orang. Rentetan itu, hasrat anda untuk meluangkan masa bersama anak-anak anda tidak akan tercapai. Jadi, ambillah peluang menginap di homestay kerana anda boleh bersembang, bergurau dan meluangkan masa yang lebih lama bersama anak-anak anda.

Tempat Letak Kereta

Anda pasti ingin mencari sesuatu yang boleh memudahkan anda sekeluarga ketika bercuti termasuklah tempat letak kereta. Kalau anda sekeluarga tinggal di homestay, anda boleh meletakkan kereta anda di hadapan rumah atau di tempat letak kereta pemilik rumah.

Tambahan, masing-masing tidak perlu berpeluh-peluh untuk jalan jauh sambil mengusung barang-barang dan mengendong anak kecil. Cuma yang menjadi masalah jika anda bercuti bersama ahli keluarga lain yang memerlukan mereka membawa kenderaan lain.

Jika homestay berada dalam kawasan perumahan, mungkin menjadi sedikit masalah untuk meletak kenderaan kerana bimbang akan mengganggu kawasan rumah jiran berdekatan. Tempat letak kereta di hotel pula biasanya bertingkat-tingkat dan anda tiada masalah untuk berebut lot tempat letak kereta. Cuma, ia sedikit meletihkan kerana anda mungkin terpaksa meletak kenderaan jauh sedikit dari kawasan hotel atau perlu naik turun lif.

Keselesaan

Keselesaan dan kepuasan keluarga hanya dapat digambarkan jika anda memilih tempat menginap yang betul dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Walaupun anda memilih homestay untuk suasana seperti berada di rumah sendiri, adakah anda sekeluarga benar-benar selesa?

Jika memilih hotel pula, adakah anda berpuas hati dengan servis yang diberikan? Semuanya bergantung kepada keputusan dan bajet percutian anda. Jika mempunyai bajet lebih, anda pasti tidak ada masalah memilih mana yang terbaik.

Namun begitu, pandangan kami sebenarnya tidak perlu sesuatu yang terlampau eksklusif kerana anda sekeluarga pasti banyak menghabiskan masa di luar kawasan penginapan.