Dipaksa Minum Air Kencing Dan Makan Lipas Kerana Prestasi Kerja Lemah

Akibat perbuatan kejam dan keji memaksa dua orang staf untuk meminum air kencing serta memakan lipas, tiga pengurus di sebuah syarikat ubah suai kediaman di bandar Guizhou, China telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara lima dan 10 hari.

pekerja makan lipas

Pihak berkuasa mengambil tindakan segera selepas rakaman video yang tersebar di laman media sosial, Weibo menunjukkan pekerja terbabit bukan sahaja disebat dengan tali pinggang malahan dipaksa minum air kencing. ‘Hukuman’ sebegitu dikenakan ke atas pekerja yang gagal mencapai sasaran jualan atau mempunyai prestasi kerja yang lemah.

Menerusi video tersebut, seorang pengurus lelaki dilihat berdiri di tengah bulatan sambil memegang tali pinggang manakala pekerja yang ‘dihukum’ itu dipaksa meminum cecair berwarna kuning dalam cawan plastik sambil menutup hidung mereka. pekerja minum urin

Selain itu, media tempatan turut melaporkan bentuk ‘hukuman’ lain yang dikenakan ke atas kakitangan yang tidak produktif akan dipaksa untuk meminum air tandas atau cuka serta kepala mereka dibotakkan.

Walau bagaimanapun, syarikat tersebut dilaporkan gagal membayar gaji pekerja mereka sejak dua bulan lalu dan tiada staf yang berani bersuara kerana bimbang tidak mendapat bayaran tersebut jika mereka berhenti kerja.

Ini adalah kes atau ‘taktik’ terkini yang digunakan oleh kebanyakan majikan di China untuk menghukum, memalukan atau menggalakkan kakitangan mereka untuk menunjukkan prestasi kerja yang lebih baik.

Sebelum ini juga heboh apabila tular video beberapa pekerja di salah sebuah firma saling menampar muka antara satu sama lain. Kononnya tindakan sebegitu adalah untuk meningkatkan motivasi diri selain ada yang dipaksa merangkak di atas jalan raya dan mencium tong sampah sebagai hukuman atau latihan ketika menyertai kem bina semangat.

Sumber: BBC News