
Banyak persoalan yang timbul mengenai makanan dan minuman yang sepatutnya dielakkan sekiranya seseorang itu baru selesai divaksinasi.
Tidak kira walau baru divaksinasi dengan vaksin jenis apa pun, sama ada Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac mahupun CanSino, pengambilan makanan dan minuman seharusnya dijaga.
Di Malaysia, setelah menerima suntikan vaksin COVID-19, penerima vaksin perlu berada di ruang pemerhatian yang ditetapkan sekurang-kurangnya selama 15 minit.
Penerima vaksin juga mesti memaklumkan kepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda-tanda atau kesan sampingan selepas menerima vaksin COVID-19.

Tanda-tanda atau kesan sampingan ini termasuklah kesukaran bernafas, pembengkakan di bahagian muka, bibir dan tekak, denyutan jantung yang cepat serta merasa pening dan lemah tubuh badan.
Pengambilan sesuatu yang masuk ke dalam badan seperti makanan dan minuman juga merupakan faktor penting dalam mempengaruhi keberkesanan vaksin di peringkat awal.
Di Indonesia, menurut CNBC, pengambilan makanan dan minuman berikut adalah ‘diharamkan’ sejurus selesai mendapatkan suntikan vaksin.
Minuman berkarbonat
Adalah dilarang dan tidak disyorkan kepada mereka yang baru selesai divaksin dari mengambil minuman berkarbonat.
Secara umumnya, minuman berkarbonat yang mengandungi kadar gula yang tinggi akan meningkatkan lagi risiko kenaikan berat badan, penyakit diabetes, kerosakan gigi, pembentukan lemak, kolesterol tinggi dan banyak lagi.
Ini sudah tentu tidak bermanfaat bagi tubuh badan ketika masih di peringkat permulaan untuk bertindak balas dengan sistem imunisasi yang baru.
Makanan yang diproses
Makanan yang diproses dapat ditakrifkan sebagai makanan yang telah berubah dari bentuk asalnya melalui pemprosesan di kilang.
Kebanyakan makanan yang diproses pada hari ini lebih cenderung diperbuat daripada ramuan yang tidak sihat seperti kandungan bahan kimia dan pengawet, gula yang tinggi dan lemak tepu.
Contoh makanan yang diproses adalah seperti makanan dalam tin dan makanan sejuk beku seperti sosej, burger dan nuget.
Adalah disarankan mereka yang baru selesai divaksinasi agar hanya mengambil makanan organik dan semulajadi sahaja.
Minuman tenaga
Minuman tenaga mengandungi bahan perangsang seperti kafein yang membebani kelenjar adrenal dan berupaya menyebabkan ketagihan.
Bukan itu sahaja, untuk menghasilkan rasa yang enak, minuman tenaga juga sering mengandungi gula dalam jumlah yang sangat tinggi.

Makanan segera
Makanan segera sudah pasti bukan satu pilihan yang tepat bagi mereka yang baru selesai divaksinasi. Makanan jenis ini diproses dengan tambahan lemak tepu dan garam tinggi.
Oleh itu, elakkan dari mengambil makanan yang sering didapati di restoran makanan segera seperti piza, burger, kentang goreng, nuget dan sebagainya.
Baca juga: 15 Tip Amalan Sihat Untuk Turun Berat Badan Tanpa Perlu Diet
Minuman beralkohol
Alkohol dikhuatiri akan mempengaruhi tindak balas vaksin dalam membentuk sistem ketahanan terhadap virus.
Kajian juga mendapati bahawa pengambilan alkohol mempunyai kesan negatif terhadap sistem imun tubuh.
Memang tidak ada faedah langsung sebenarnya minuman beralkohol ini. Yang paling utama, jangan sesekali mengambilnya kerana ianya HARAM!
Sehingga kini, tidak ada kajian saintifik yang khusus dan data-data yang cukup untuk menyokong dakwaan mengenai pengambilan makanan dan minuman yang dilarang sekiranya baru divaksinasi.
Apapun, orang ramai harus cakna dari segi penjagaan makan dan minum agar tubuh badan terus sihat untuk melawan penyakit.
Sumber: CNBC Indonesia