Di Sebalik Insiden Ronaldo Dan Coca-Cola, Ini Sebenarnya Apa Yang Akan Berlaku Pada Hati Anda Kesan Dari Pengambilan Minuman Berkarbonat

Baru-baru ini, ketika sidang media Euro 2020, Cristiano Ronaldo telah men’sekolah’kan penduduk dunia dengan mengetepikan botol minuman berkarbonat Coca-Cola yang berada di depannya.

Tindakan spontan Ronaldo yang mengelak dirinya dari dikaitkan dengan minuman berkarbonat yang tidak menyihatkan ini telah menyebabkan nilai pasaran Coca-Cola mengalami kerugian AS$4 bilion (RM16.4 bilion).

Baca juga: Coca Cola Ingin Hasilkan Minuman Berasaskan Ganja

Tahukah anda, selain dari meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, kerosakan gigi dan obesiti, minuman berkarbonat seperti Coca-Cola juga banyak memberi kesan negatif kepada hati? Mungkin inilah yang ingin ‘diajar’ oleh Ronaldo.

Fungsi hati

Hati membantu dalam proses metabolisme karbohidrat, protein dan lemak yang kita makan, seterusnya menyimpannya sebagai glikogen, vitamin dan mineral untuk digunakan kemudian.

Hati juga merupakan organ utama yang digunakan oleh tubuh untuk memproses fruktosa di samping membantu membuang toksin dalam darah.

Kebanyakan minuman berkarbonat mengandungi bahan pemanis yang dikenali sebagai sirap jagung fruktosa tinggi atau high fructose corn syrup (HFCS).

Kadar gula yang tinggi dalam HFCS kesan dari pengambilan minuman berkarbonat inilah yang akhirnya menjadi beban kepada hati untuk memproses fruktosa.

Foto Shutterstock
– Foto Shutterstock

Penyakit Hati Berlemak Bukan Alkohol atau Non-​Alcoholic Fatty Liver Disease (NAFLD)

Gula yang terlalu banyak dan berlebihan boleh menyebabkan berlakunya pembentukan dan penumpuan lemak yang merbahaya dalam hati.

Kajian mendapati, lapisan lemak yang semakin banyak terkumpul ini akan mengganggu tugas hati. Gejala penyakit NAFLD ini termasuklah keletihan dan kesakitan dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati.

Mengganggu tindakbalas insulin mengawal gula di dalam darah

Pengambilan minuman berkarbonat yang berlebihan juga boleh menyebabkan gangguan terhadap fungsi insulin dalam badan seterusnya meningkatkan risiko untuk menghidap Diabetes Jenis-2.

Satu kajian mendapati, mereka yang mengambil  4 minuman bergula setiap hari dengan jumlah di antara 40-80 gram gula, dilaporkan boleh mempengaruhi fungsi insulin hanya dalam masa 3 minggu.

Foto Shutterstock
– Foto Shutterstock

Penyebab radang hati

Satu kajian pada tahun 2020 yang dilakukan terhadap tikus mendapati, HFCS dalam jangka masa yang lama akan menyebabkan kemerosotan pada lapisan dinding usus dan mengakibatkan radang hati.

Ini seterusnya boleh menyebabkan steatohepatitis, cirrhosis, kanser hati dan kegagalan fungsi hati.

Baca juga: Coca Cola Clear Kini Di Family Mart Malaysia

Kesan parut pada hati atau cirrhosis

Akibat pengambilan air bikarbonat seperti Coca-Cola, hati boleh tercedera. Namun, ia akan cuba untuk merawat atau membaikinya sendiri.

Kecederaan hati yang berterusan ini walau bagaimanapun, akan menyebabkan berlakunya pembentukan tisu parut atau scar tissue.

Setelah beberapa lama, kecederaan ini menjadi sukar untuk dirawat oleh hati dan akhirnya tidak dapat dipulihkan lagi pada peringkat tertentu.

Minuman manis dan bergula pula dikaitkan dengan risiko untuk mendapat kesan parut pada hati atau cirrhosis sebanyak 30% lebih tinggi.

Kesimpulannya, elakkan minuman berkarbonat seperti Coca-Cola dan banyak-banyaklah minum air kosong seperti Cristiano Ronaldo.

Sumber: EatThis.com