
Tidak berapa lama lagi, anda boleh ke sana, ke sini, melancong dan melawat negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dengan menggunakan Sijil Digital COVID EU.
Siapakah yang layak dan bagaimanakah cara untuk mendapatkannya? Ini apa yang perlu anda ketahui mengenai Sijil Digital COVID EU.
Apakah Sijil Digital COVID EU?
Sijil ini mempunyai data penting yang disimpan secara digital seperti rekod vaksinasi pemegang, ujian negatif atau rekod jangkitan sebelumnya.
Mereka yang sering berulang-alik di antara 2 buah negara kini juga tidak lagi perlu membuat ujian calitan setiap hari.
Adakah sijil ini sama dengan pasport vaksin COVID EU?
Ya, ia juga dikenali sebagai ‘pas imuniti’ atau ‘pas kesihatan’. Walau bagaimanapun, nama rasminya ialah Sijil Digital COVID EU.
Adakah ia sijil digital atau kertas?
Terpulang kepada pemegangnya. Anda boleh memilih salah satu darinya. Kedua-duanya akan mengandungi kod QR yang ditandatangani secara digital dan dapat diimbas semasa masuk/keluar sesebuah negara.
Sijil dikeluarkan dalam bahasa kebangsaan negara yang mengeluarkannya. Namun, bahasa Inggeris tetap disertakan sekali.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Tanda tangan digital akan dimasukkan sekali di dalam kod QR. Kakitangan yang bertugas di pintu masuk/keluar negara hanya perlu mengimbas kod QR untuk melihat data peribadi pemegang sijil.
Bilakah ia dilancarkan?
Perancangan telah dibuat sejak Mac dan dipersetujui bersama pada 20 Mei. Ia akan dilancarkan secara rasmi mulai 1 Julai.
Baca juga: Walaupun Pandemik COVID-19 Belum Berakhir, ‘Avengers Campus’ Tetap Akan Dibuka Pada 4 Jun Ini
Negara manakah yang menggunakannya?
Pada 8 Jun, terdapat sembilan negara anggota EU yang telah bersetuju untuk menggunakannya iaitu Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Denmark, Jerman, Greece, Lithuania, Poland dan Sepanyol.

Siapakah yang layak untuk memohonnya?
Setakat ini, hanya warganegara EU dan keluarga mereka serta penduduk tetap yang sah sahaja. Walau bagaimanapun, seorang jurucakap EU telah mengesahkan bahawa ia bakal dibuka juga untuk bukan warganegara.
Ini termasuklah buat warga England walaupun negera tersebut kini sedang bergelut dengan virus COVID-19 varian Delta.
Adakah anda perlu diberi vaksin untuk mendapatkannya?
Tidak. Golongan anti-vaksin bolehlah menarik nafas lega.
Sijil ini tidak menyimpan data mengenai vaksin yang telah diambil semata-mata, tetapi juga rekod kesihatan terkini termasuk status ujian negatif, rekod jangkitan atau pernah pulih sebelum ini.
Sijil ini juga akan mencatatkan sama ada anda telah mendapat satu atau dua dos vaksin. Pada masa ini, EU hanya meluluskan AstraZeneca, Pfizer/BioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson. Vaksin Sinovac dan Sputnik V masih belum mendapat kelulusan.
Berapa orangkah yang sudah mendapatkannya dan berapakah caj yang dikenakan?
Menurut Suruhanjaya Eropah, lebih dari satu juta orang telah mendaftar setakat ini. Walau bagaimanapun, Sijil Digital COVID EU ini adalah percuma sahaja.
Bagaimanakah cara untuk mendapatkannya?
Setiap negara akan mengeluarkan sijil mereka sendiri, sama ada melalui portal web, melalui pihak berkuasa kesihatan atau di pusat-pusat ujian.
Setiap negara juga beroperasi mengikut terma masing-masing. Sebagai contoh, Itali dan Greece kini sudah pun membuka pintu sempadan mereka buat warga Amerika.
Baca juga: Hanya Di Itali, Anda Kini Boleh Makan Piza Panas-Panas Dengan Memesan Terus Dari ‘Vending Machine’
Bunyi macam hebat sangat Sijil Digital COVID EU ni. Tapi lebih kurang macam MySejahtera je agaknya, kan? Tak apalah, kalau tak dapat merentas negara, dapat merentas negeri pun dah syukur.
Sumber: CNN