Milo Tampilkan Reka Bentuk Tin Koleksi Khas Edisi Merdeka 2021 Dengan Teknologi AR

Minuman kegemaran ramai di Malaysia, Milo memperkenalkan 2 reka bentuk tin koleksi khas edisi Merdeka dengan teknologi AR baru-baru ini.

Reka bentuk tin Milo edisi Merdeka tersebut dilancarkan sempena meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-64 dan juga sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Dihasilkan menerusi kerjasama dengan pereka jenama kreatif tempatan, Loka Made, koleksi khas tin Milo Merdeka tersebut boleh didapati dalam saiz 1.5kg sahaja.

Ia kini sudah pun berada di pasaran dan pembelian boleh dibuat di pasar raya yang berhampiran serta secara atas talian menerusi laman e-dagang utama, selagi stok masih ada.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, koleksi tersebut mengungkapkan pertalian erat antara Milo dengan Malaysia, selari dengan tradisi tahunannya untuk menyebarkan keceriaan dengan barangan koleksi yang dinanti-nantikan.

“Milo menampilkan dua reka bentuk, koleksi Tin Milo Edisi Terhad 2021 meraikan cara unik rakyat Malaysia menikmati Milo kegemaran mereka sama ada di warung-warung tepi jalan (Edisi Warung) mahupun di kopitiam yang menggamit nostalgia (Edisi Kopitiam),“ katanya dalam satu kenyataan.

Foto Nestlé (Malaysia) Berhad
– Foto Nestlé (Malaysia) Berhad

Beliau menambah, selama lebih 70 tahun, Milo tidak dapat dipisahkan lagi daripada kehidupan rakyat Malaysia dengan kebaikan malt, susu dan koko serta gabungan enam vitamin dan tiga mineral penting membekalkan tenaga untuk rakyat menghadapi aktiviti harian.

Baca juga: 7 Menu Guna Produk Milo Yang Patut Anda Cuba

Pembeli juga boleh memenangi set hadiah eksklusif Milo menerusi ‘Peraduan Kita Kan Malaysia’ yang bermula pada 29 Ogos 2021 sehingga 30 September 2021.

Peraduan ini dibuka kepada semua pembeli Milo 1.5kg Tin Edisi Terhad dan untuk menyertainya, sila rujuk platform media sosial Facebook dan Instagram rasmi Milo.

Koleksi Tin Milo Edisi Terhad 2021 buat julung kalinya juga, tampil dengan kecanggihan teknologi Realiti Berperantara atau Augmented Reality (AR).

Untuk mengalami pengalaman nostalgik menggunakan AR tersebut, penggemar Milo hanya perlu melakukan 3 langkah mudah berikut.

Foto Nestlé (Malaysia) Berhad
– Foto Nestlé (Malaysia) Berhad

Pertama, sebaik sahaja mendapat tin Milo edisi Merdeka, gunakan telefon pintar untuk mengimbas kod QR yang terdapat di belakangnya.

Seterusnya, ikuti panduan yang diberi dan letakkan peranti ke arah tin Milo tersebut. Gerak-gerakkan peranti untuk mengalami pengalaman interaktif 3D bersama Milo.

Jangan lupa untuk tangkap gambar dan kongsikannya!

Sumber: MILO.com.my