Eminem Layan Peminat Di Restoran Miliknya ‘Mom’s Spaghetti’ Yang Baru Dibuka Di Detroit

Eminem buat kejutan apabila tiba-tiba muncul melayan dan menghantar pesanan makanan peminat-peminat yang menyerbu restoran miliknya, Mom’s Spaghetti.

Siapa sangka dua patah lirik lagu ciptaannya Lose Yourself yang sering disebut-sebut sehingga menjadi meme internet popular tersebut kini akhirnya menjadi sebuah restoran.

Berikut merupakan rangkap lagu tersebut:
“His palms are sweaty, knees weak, arms are heavy
There’s vomit on his sweater already, mom’s spaghetti”
.

Tiada siapa juga yang menyangka lagu ini berjaya menggondol Oscar untuk Lagu Asal Terbaik di Anugerah Academy pada tahun 2003 bagi filem 8 Mile yang merupakan semi-biografi lakonannya.

Eminem sendiri pun tidak hadir pada malam anugerah tersebut kerana menjangkakan yang beliau tidak memiliki peluang dan harapan langsung untuk menang.

Ini menjadikan Eminem atau nama sebenarnya Marshall Mathers menjadi penyanyi rap yang pertama dalam sejarah yang memenangi Oscar.

18 tahun kemudiannya, nama Mom’s Spaghetti diangkat menjadi sebuah restoran pula yang baru dilancarkan pembukaannya pada 29 September lalu.

Berpusu-pusu peminat Eminem datang menyerbu dan beratur panjang bagi menjadi antara pelanggan Mom’s Spaghetti yang pertama.

Kelihatan ramai di antara mereka yang datang lengkap dengan berpakaian T-shirt serta baju panas yang memaparkan ikon rap kegemaran mereka itu.

Baca juga: Jamie Oliver Isytihar Rangkaian Restoran Milik Beliau Muflis

Oleh kerana restoran tersebut penuh kerana tempat duduknya yang agak terhad, ramai pelanggan terpaksa membuat pesanan di sebuah tingkap kaunter.

Alangkah terkejutnya pelanggan-pelanggan yang hadir pada hari itu kerana disambut oleh Eminem sendiri yang sudi menghantar makanan yang dipesan sambil turut berswafoto.

“Moms spaghetti it’s alllllll ready Detroit! Come thru Wednesday,” petikan dari ciapan Eminem kepada 22.5 juta pengikutnya awal minggu ini.

Foto YouTube EminemMusic
– Foto YouTube EminemMusic

Eminem walau bagaimanapun, tidak membuat pengumuman untuk hadir pada hari pembukaan restorannya itu.

Kehadirannya secara tiba-tiba tersebut amat mengejutkan peminat-peminatnya yang turut kelihatan menyerbu kedai cenderahati dan memorabilia yang terdapat di tingkat atas restoran.

Peminat-peminat Eminem di Malaysia bolehlah bercita-cita untuk mengunjungi restoran Mom’s Spaghetti di Detroit satu hari nanti.

Mungkin satu hari nanti Eminem bercadang pula untuk menjadikan restoran Mom’s Spaghetti sebagai francais dan membuka cawangannya di Malaysia.

Mungkin juga Eminem akan turut hadir untuk membuat kejutan di Malaysia pula nanti.

“You better lose yourself in the music, the moment
You own it, you better never let it go
You only get one shot, do not miss your chance to blow
This opportunity comes once in a lifetime”.

Lose Yourself – Eminem

Sumber: The Washington Post