Resipi Untuk ‘Membuat’ Sendiri KitKat Tanpa Perlu Pakai Oven Dan Hanya Menggunakan 2 Bahan

Ini merupakan resipi yang paling mudah untuk membuat sendiri bar coklat yang rasa seakan-akan coklat wafer popular di Malaysia iaitu KitKat dengan hanya menggunakan 2 bahan.

Memang ramai yang suka makan bar coklat yang enak dan rasa seperti KitKat tak kira golongan kanak-kanak mahupun dewasa.

Frasa “Have a break, have a KitKat” (Berehat Sebentar Bersama KitKat) memang selalu kita dengar dan dah tentu kalau makan satu mesti tak cukup, kan?

Tak sangka ada resipi mudah sebenarnya untuk ‘membuat’ KitKat sendiri hanya dengan menggunakan 2 bahan sahaja.

Lepas ni, kalau dah tahu cara-cara untuk membuat sendiri, bolehlah nak makan KitKat puas-puas dengan anak-anak.

Resipi untuk membuat sendiri KitKat ini dikongsi oleh Puan Ida Zaida di Facebook dan yang paling menarik untuk menyediakannya, anda tidak perlu bakar menggunakan oven pun!

Macam mana pula tu? 2 bahan sahaja? Tak perlu bakar menggunakan oven? Jom kita ikuti cara-cara untuk membuat sendiri KitKat.

Bahan-bahannya ialah:

1) Satu paket Nestum original 500g.

2) Satu paket coklat Dark Compound Beryl’s 1kg (disyorkan kerana rasa coklatnya agak kurang manis berbanding dengan Milk Compound).

Itu saja 2 bahan-bahannya. Amat mudah untuk didapati di kedai-kedai dan pasar raya.

Baca juga: Resipi Murtabak Pasta Yang Lebih Sedap, Tebal Dan Puas Dimakan Dari Murtabak Maggi

Cara-cara untuk menyediakannya pula ialah:

1) Cairkan coklat Dark Compound Beryl’s 1kg tersebut dengan menggunakan kaedah ‘double boiler’ iaitu pemanasan menggunakan haba yang sekata dalam bekas berisi air.

2) Kacau dan gaul rata coklat tersebut dalam beberapa minit sehingga ia menjadi benar-benar cair.

3) Selepas coklat tersebut telah cair keseluruhannya, tuang satu paket Nestum original 500g ke dalamnya.

4) Seterusnya, gaul rata Nestum bersama-sama dengan coklat tadi sehingga sebati dan bersalut elok di antara satu sama lain.

5) Sediakan bekas sederhana besar yang dilapik dengan plastik agar proses untuk mengeluarkan KitKat yang bakal siap nanti lebih mudah.

6) Matikan api dan masukkan Nestum serta coklat yang digaul sebati ke dalam bekas yang dilapik dengan plastik tadi.

7) Sebaik sahaja ia sejuk dan mengeras, buat potongan bersaiz kecil atau mengikut citarasa anda untuk mudah dimakan nanti.

8) Masukkan ke dalam peti sejuk dan simpan untuk beberapa jam. Suhu tidak perlu terlalu rendah dan memadai agar ianya sedikit sejuk tetapi masih tidak beku sepenuhnya menjadi ais.

9) Bila ianya telah sejuk dan keras, patah-patahkannya mengikut potongan yang telah dibuat.

10) Hidangkan.

Itu dia! Resipi KitKat buatan sendiri hanya guna 2 bahan. Mudahkan? Anak-anak kecil pun boleh cuba buat sendiri. Cubalah!

Kredit: Ida Zaida
Sumber: MAHN