Rebut Baucar Bernilai RM100 Dengan Lebih 170 Pakej Pelancongan Menarik Dari Kerajaan Negeri Selangor

Masa terbaik untuk bercuti di Selangor kerana kini terdapat baucar pelancongan bernilai RM100 yang boleh ditebus susulan pembukaan semula sektor pelancongan domestik negara.

Inisiatif Kerajaan Selangor yang menawarkan pemberian subsidi baucar pelancongan bernilai RM100 ini merupakan edisi yang kedua tahun ini susulan sambutan hangat dari edisi pertama Januari lalu.

Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ini merupakan insentif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor.

Sebanyak RM2.55 juta telah diperuntukkan kepada industri pelancongan Selangor yang diumumkan pada 9 Jun 2021 yang lalu.

Dari jumlah tersebut, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk Subsisi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 yang merangkumi 10,000 unit baucar bernilai RM100 setiap satu.

Ia ditawarkan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad yang sah serta berumur 18 tahun ke atas pada tahun 2021.

Baucar pelancongan dengan tema #PusingSelangorDulu2.0 ini ditawarkan melalui aplikasi e-dagang terkemuka Shopee.

Ianya sudah boleh mula ditebus bermula 22 Oktober yang lalu sehingga akhir tahun ini, 31 Disember 2021, atau sehingga baucar sudah habis ditebus.

Walau bagaimanapun, tempoh perjalanan atau penggunaan baucar ini boleh dibuat sehingga tahun depan iaitu sebelum 30 Jun 2022.

Baca juga: Dua Lokasi Popular Di Selangor Untuk Mencuba Aktiviti ‘Paragliding’

Kempen Pusing Selangor Dulu ini juga melibatkan usaha sama penggiat industri pelancongan seperti pihak hotel, agensi pelancongan, media dan syarikat penerbangan.

Ianya juga diharapkan dapat mempromosikan pelancongan di Selangor dengan lebih meluas melalui media sosial Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube dengan tanda pagar #PusingSelangorDulu.

Foto Selangor.Travel
– Foto Selangor.Travel

Lebih 170 pakej-pakej pelancongan menarik ditawarkan oleh 35 agensi pelancongan di negeri Selangor yang mengambil bahagian kali ini.

Setiap pengguna Shopee walau bagaimanapun, hanya terhad kepada satu transaksi setiap baucar sahaja bagi sepanjang tempoh kempen.

Semua pembelian baucar juga harus melibatkan pembayaran yang dilakukan melalui fungsi ShopeePay sahaja.

Penggunaan baucar juga adalah terhad untuk satu baucar sahaja dalam satu transaksi pada satu-satu masa.

Promosi ini tidak sah dengan kombinasi baucar, diskaun potongan atau promosi lain yang ditawarkan di Shopee.

Sila klik pautan Shopee ini untuk menebus baucar RM100 atau melihat pakej-pakej yang ditawarkan.

Selamat bercuti!

Sumber: Selangor.Travel