Five Guys Buka Cawangan Pertama Di Malaysia

Warga Malaysia kini berpeluang untuk merasai sendiri keenakan burger Five Guys dengan pembukaan cawangan pertama restoran makanan segera tersebut di Genting Highlands, Pahang.

Telah dibuka pada 24 Oktober yang lalu, Five Guys pertama di Malaysia ini terletak di Lot SA – T2A – 25, Zouk Atrium, Sky Avenue, Resort World, Genting Highlands dengan keluasan lebih 2,000 kaki persegi.

Five Guys yang cukup popular di Amerika Syarikat, amat dikenali dengan keenakan burger, hot dog, kentang goreng dan susu kocaknya.

Di Malaysia, Five Guys masih belum mendapat pengiktirafan Halal oleh JAKIM. Namun, pihak pengurusannya memberi jaminan bahawa semua hidangannya adalah patuh Syariah.

Ini adalah kerana semua bahan mentah dan sumber daging yang digunakan adalah Halal, langsung tidak menggunakan daging atau lemak babi serta tiada setitik alkohol pun yang dicampur dalam hidangannya.

Ini termasuklah tiada arak dalam senarai menu hidangan minumannya serta susu kocak istimewa Five Guys juga tidak mengandungi sebarang campuran alkohol.

Di antara keunikan Five Guys yang lain ialah walaupun ianya digelar sebagai restoran makanan segera, semua bahan yang digunakan adalah berkualiti, segar dan menyihatkan.

Misalnya, kentang goreng atau french fries yang dihidangkan adalah digoreng dengan 100% minyak berasaskan kacang tanah yang bersih serta bebas kolestrol.

Baca juga: Pertama Kali Mencuba ‘Taco Bell’, Ini Reaksi Salma Hayek

Selain itu, pelanggan juga boleh menambah atau menyesuaikan hidangan burger mengikut selera masing-masing kerana terdapat 15 toppings percuma yang disediakan.

Ini termasuklah mayones, sayur, tomato, jeruk, bawang panggang, cendawan panggang, mustard, jalapeno peppers, green peppers, sos BBQ, sos pedas dan bermacam-macam lagi.

Pilihan untuk susu kocak atau milkshakes yang ditawarkan pula terdiri daripada perisa strawberi, pisang, coklat, mentega kacang, karamel masin, Oreo dan banyak lagi.

Five Guys juga menekankan bahawa mereka hanya menggunakan roti segar yang dihasilkan baru pada setiap hari serta tiada ketuhar gelombang mikro langsung digunakan di restoran mereka.

Foto Facebook @FiveGuysMalaysia
– Foto Facebook @FiveGuysMalaysia

Ditubuhkan di Virginia, Amerika Syarikat sejak tahun 1986 lagi, Five Guys kini diuruskan oleh 5 adik-beradik lelaki pasangan Jerry Murrell dan Janie Murrell.

Burger Five Guys pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk ‘Burger Nombor 1’ selama 7 tahun yang dinobatkan oleh Washingtonian Magazine.

Mengikut Wikipedia, bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama turut menggemari burger Five Guys dan pernah beberapa kali dilihat beratur membeli burger di Washington.

Cawangan pertama Five Guys di Malaysia ini merupakan salah satu dari ribuan cawangan Five Guys yang terdapat di lebih 20 negara di seluruh dunia ketika ini.

Sumber: Facebook @FiveGuysMalaysia