KFC Abadikan Nama Seniman Negara P Ramlee Sebagai Nama Burger Terbaharu

Siapa sangka nama legenda seni tanah air Allahyarham Tan Sri P Ramlee kini juga merupakan nama sejenis burger terbaharu keluaran KFC?

“Ini betul-betul. Bukan cobaannnnn.” – Pendekar Bujang Lapok (1959)

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh rangkaian restoran makanan segera KFC, burger yang diberi nama ‘Burger P Ramlee’ tersebut akan mula menemui pelanggan pada 28 Oktober ini.

Foto KFC Malaysia
– Foto KFC Malaysia

P Ramlee yang dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang memang dikenali juga sebagai seorang penggemar hidangan nasi kandar.

Dalam filem terakhir beliau, Laxmana Do Re Mi (1972), P Ramlee turut sempat memaparkan makanan kegemarannya tersebut dalam satu babak.

Diinspirasikan dari itu, burger ini dihasilkan dengan pelbagai rasa aromatik dari bahan-bahan unik yang terdapat dalam nasi kandar.

Burger ini mengandungi Kuah Kari Kandar KFC yang diperbuat daripada herba dan rempah-ratus tempatan seperti kunyit, serai, jintan putih, dan daun kari.

Ia melimpahi filet Zinger yang segar dan rangup, kemudian disempurnakan dengan sayuran berempah dan mayonis, lalu diapit dengan ban bijan bakar.

Baca juga: Ayam Goreng KFC Kini Lebih Pedas Dengan ‘Extra’ Hot & Spicy

P Ramlee adalah seniman agung yang telah meninggalkan legasi kaya dalam budaya Malaysia yang masih relevan dan diminati semua,” kata Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia, Chan May Ling.

Menu inovatif terbaharu kami, Burger P Ramlee merupakan gabungan memikat KFC Zinger dan makanan kegemaran P. Ramlee, Nasi Kandar meraikan legasi beliau dan satu penghormatan khas kami kepadanya,” jelasnya lagi.

Burger P Ramlee kini boleh didapati untuk waktu terhad di semua restoran KFC di Semenanjung Malaysia melalui pelbagai pilihan À la Carte, Kombo, Set Legenda dan Kombo Ikon.

Jika pelanggan memilih untuk Ambil Sendiri atau Self Collect, harga yang ditawarkan untuk burger P Ramlee À la Carte ialah RM12.49.

Untuk set Kombo yang turut mengandungi minuman ringan dan french fries pula harganya ialah RM15.99 sahaja.

Bagi Set Legenda, burger P Ramlee disertakan sekali dengan Loaded Potato Bowl dan minuman ringan pada harga RM18.49.

Akhir sekali ialah Kombo Ikon yang mengandungi 2 burger P Ramlee, 2 ketul ayam goreng dan Cheezy Wedges pada harga RM33.49 sahaja.

Pelanggan juga boleh menggunakan kod promo PRAMLEE untuk mendapatkan diskaun 10 peratus bagi pesanan melalui aplikasi KFC.

Sumber: Harian Metro