Sekurang-Kurangnya Makan Seminggu Sekali, Ini Hidangan McDonald’s Paling Digemari Adele

Di sebalik kelunakan suara penyanyi popular Adele, ramai yang tidak menyangka restoran makanan segera yang paling digemari olehnya ialah McDonald’s.

Walaupun Adele boleh memilih mana-mana restoran eksklusif dan mahal dari serata dunia untuk menjamu selera, namun McDonald’s tetap menjadi pujaan hatinya.

Pendedahan mengenai hidangan McDonald’s yang paling digemari oleh beliau tersebut dibuat oleh Adele sendiri baru-baru ini dalam satu video terbitan British Vogue.

Adele turut mendedahkan yang beliau memang suka makan McDonald’s dan wajib menikmati hidangan kegemarannya itu sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

Seminggu sekali? Biar betul Adele ni. Itu sekurang-kurangnya. Agak-agak berapa kalilah dia makan ‘McD’ dalam seminggu tu sebenarnya.

Penyanyi tersebut turut menambah, hidangan McDonald’s merupakan set hidangan ‘three-course’nya yang ideal serta lengkap yang mengandungi pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut.

Foto McDonald’s Malaysia YouTube
– Foto McDonald’s Malaysia/YouTube

Paling menggemparkan ialah, Adele turut berjenaka, untuk hidangan terakhirnya jika dia dijatuhi hukuman mati sekalipun, beliau tetap memilih hidangan paling digemari olehnya dari McDonald’s.

“Hidangan paling ideal saya, ketika di saat-saat terakhir sebelum dijatuhi hukuman mati, saya nak makan Chicken McNugget dengan Big Mac dan french fries,” ujar Adele.

Baca juga: Gara-Gara ‘BTS Meal’, Sistem Penghantaran McDonald’s Lumpuh

Tambah penyanyi Someone Like You ini lagi, beliau turut menggemari ayam bakar peri-peri dari rangkaian restoran makanan segera Afrika Selatan, Nando’s.

“Saya selalu makan suku bahagian ayam, dengan coleslaw, nasi sikit dan french fries,” katanya lagi yang sukakan tahap kepedasan Medium dari Nando’s.

Dalam video berdurasi 10 minit tersebut, Adele turut berkongsi kemahirannya memasak hidangan kegemaran anaknya yang berusia 8 tahun.

Beliau turut mendedahkan kemahiran memasaknya banyak diperolehi dari buku masakan yang ditulis oleh chef selebriti sejak umur beliau mencecah 18 tahun.

“Sebelum itu, saya banyak ‘tapau’ je. Memang banyak wang yang terpaksa dibelanjakan. Jadi, saya ambil keputusan untuk belajar memasak dari buku masakan 30-Minute Meals oleh Jamie Oliver, jelasnya.

Baru-baru ini Adele telah melancarkan single terbarunya iaitu Easy On Me pada 15 Oktober 2021 dari album terbaharunya berjudul ‘30’.

Lagu tersebut berjaya memecah rekod di Spotify sebagai lagu paling banyak distrim dalam sehari iaitu sebanyak 24 juta kali di seluruh dunia.

Sebelum itu, Adele pernah menggemparkan dunia hiburan apabila membuat penampilan terkini yang menyaksikan berat badan beliau susut kira-kira 45kg.

Kesimpulannya, kalau nak suara sedap macam Adele, selalu-selalulah makan ‘McD’.

Penafian: Artikel ini TIDAK ditaja oleh McDonald’s Malaysia/Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd.

Sumber: Today