Resipi Rahsia Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil Limbongan

Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil Limbongan yang terletak di Melaka memang digemari ramai dan sangat popular di kalangan rakyat Malaysia.

Ramai yang sanggup beratur panjang dan rela menunggu sehingga lebih sejam untuk merasai sendiri kesedapan kuih keria ini.

Keenakan kuih keria di sini juga menjadi tular sehingga Jalan Limbongan ke Pantai Klebang sentiasa sesak gara-gara pengunjung yang sering berhenti di tepi-tepi jalan untuk membeli juadah tersebut.

Ada juga yang sanggup datang dari ibu kota dan menempuh perjalanan sejauh lebih 150km semata-mata untuk makan kuih keria di sini.

Baca juga: Resipi Rahsia Mi ‘Bodoh’ Pak Hassan

Ianya turut dikenali dengan nama Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah sempena nama arwah pengasasnya bersama suami, Allahyarham Haji Jalil yang mengusahakan perniagaan ini sejak tahun 1979 lagi.

Kedai kuih keria ini memang patut dijadikan sebagai destinasi yang wajib anda tuju bersama keluarga sekiranya berkunjung ke Melaka.

Terletak di Jalan Klebang Kechil dan Taman Limbongan Jaya, anda juga boleh menghubungi nombor 016-682 1054 atau 012-691 4026 untuk sebarang pertanyaan.

Tapi, bagi yang tak sanggup nak jalan jauh-jauh sampai ke Melaka tu, boleh cuba sendiri resipi kuih keria yang sedap dan mungkin rasanya pun macam Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil Limbongan punya.

Dikongsikan oleh personaliti masakan popular Che Nom di laman webnya ResepiCheNom.com, beliau menjelaskan bahawa beliau sendiri sudah mencuba berkali-kali untuk mendapatkan rasa kuih keria yang sedap dan menepati selera.

‘Rahsia’ sebenar kuih keria terletak pada ubi keledek yang digunakan iaitu lebih sesuai dan sedap jika menggunakan keledek jenis berwarna putih atau kuning berbanding dengan keledek berwarna oren kerana keledek putih lebih sedap dan tidak lembik apabila direbus.

Doh keledek pula akan lebih senang dibentuk dan sebenarnya tidak perlu ditambah dengan tepung yang banyak serta baking powder pula dicampurkan agar kuih keria menjadi lebih montok dan gebu.

Sudah tentu ‘rahsia’ kesedapan kuih keria juga terletak pada salutan gulanya yang terdiri dari 3 jenis gula iaitu gula melaka, gula batu dan gula putih.

Sekarang dah tau ‘rahsia’, jom cuba buat sendiri pula.

Bahan-bahan untuk menyediakan doh keria ialah:

1) 800 gram ubi keledek putih (dalam 2 ketul besar).

2) 1 1/4 cawan tepung gandum.

3) 2 sudu kecil baking powder.

4) 1 sudu kecil garam.

Bahan-bahan untuk membuat salutan gula/sira pula ialah:

1) 1 ketul gula melaka.

2) 1 sudu besar gula batu.

3) 1 sudu besar gula putih.

4) 1/2 cawan air.

Cara-cara untuk membuat kuih keria:

1) Rebus ubi hingga empuk dan toskan airnya. Apabila sudah sejuk, tumbuk halus dengan menggunakan lesung batu/potato masher dan tarik keluar urat-urat kasarnya.

2) Tambah tepung gandum secara sedikit demi sedikit sehingga doh kurang melekat.

3) Leperkan bebola doh dan buat lubang di tengah-tengah.

4) Goreng doh di dalam minyak panas sehingga warnanya menjadi keperangan.

5) Angkat dan gaul rata ke dalam gula pekat yang sedang mendidih.

Cara-cara untuk membuat salutan gula/sira:

1) Tumbuk halus gula dan masak di dalam kuali sehingga mendidih dan pekat.

2) Sedia untuk digaul rata bersama kuih keria.

Foto iResipi/Resepi Che Nom
– Foto iResipi/Resepi Che Nom

Tip penting:

1) Sekiranya doh melekat sedikit, sapukan sedikit tepung di tangan sebelum menggentel doh tersebut bagi menjadikannya berbentuk bulat.

2) Ketika menggoreng, elakkan dari kerap sangat terbalikkan kuih tersebut kerana dikhuatiri ianya nanti boleh menyebabkan kuih tersebut banyak menyerap minyak.

Betullah! Rasanya memang sedap sebiji macam Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil Limbongan. Terima kasih Che Nom!

Sumber: Resepi Che Nom