Wanita Ini Kongsi Pengalaman Ketika 1 Kes COVID-19 Dikesan Di Disneyland Shanghai, Habis 34,000 Pengunjung Yang Lain Kena Buat Ujian Saringan

Suasana cemas melanda Disneyland Shanghai di China hujung minggu lalu apabila satu kes COVID-19 dikesan di taman tema popular tersebut.

Kejadian berlaku ketika pengunjung masih lagi ramai berada di dalam taman tema tersebut sambil menikmati pertunjukan bunga api.

Seorang wanita yang berkongsi situasi tersebut, Qian berkata, beliau yang berhasrat untuk menghabiskan cuti hujung minggu serta menyambut Halloween di situ terkejut apabila mula mendapat pesanan dari aplikasi Weibo.

Pesanan tersebut yang berupa amaran menyatakan bahawa Disneyland Shanghai telah ditutup akibat penemuan terbaru kes COVID-19.

Mesej Weibo tersebut juga mendakwa semua permainan dan tunggangan di taman tema tersebut dihentikan serta-merta dan tiada lagi pengunjung dibenarkan masuk.

Mereka yang masih lagi berada di dalam Disneyland Shanghai pada waktu itu iaitu kira-kira 34,000 orang perlu diasingkan untuk dibuat ujian saringan segera.

“Sekumpulan pelancong yang berada berhampiran saya ketika itu turut kecoh-kecoh mengenai hal ini, tetapi mereka semua masih tenang sambil menonton pertunjukan bunga api yang baru saja tamat,” menurut Qian di Weibo.

Walaupun wabak COVID-19 varian Delta semakin berleluasa dan kini telah merentasi 16 wilayah di China, Qian berkata rata-rata pengunjung masih lagi tenang serta tidak panik pada waktu tersebut.

Semasa pengunjung mula untuk bergerak keluar, barulah mereka mendapat tahu bahawa tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan keluar dari Disneyland Shanghai ketika itu.

Mereka dibawa ke satu tempat khas yang disediakan dengan meja dan turut dihadiri dengan petugas kesihatan yang lengkap memakai PPE (personal protective equipment).

Ketika itu, pintu pagar taman tema dan laluan rel telah pun ditutup tetapi pertunjukan bunga api kedua masih lagi berlangsung.

Menjelang tengah malam, 200 bas digunakan untuk membawa pengunjung ke tempat kuarantin dan bagi membuat pemeriksaan lanjut.

Kira-kira 100,000 orang lagi yang telah berkunjung ke Disneyland Shanghai dan telah pulang sebelum itu juga akan dikesan untuk diuji.

Foto ShanghaiDisneyResort.com
– Foto ShanghaiDisneyResort.com

Langkah drastik yang diambil oleh pihak berkuasa China tersebut didorong oleh penemuan terbaru hanya satu kes COVID-19 yang dikesan sehari sebelumnya di lokasi kejadian.

Pihak pengurusan Disneyland bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan bertindak menutup taman tema tersebut serta-merta sehingga Rabu walaupun terdapat dakwaan bahawa pesakit tersebut tidak pernah mengunjungi taman tema tersebut pun.

Baca juga: Disney Tawar Pakej Penginapan Di Hotel Star Wars: Galactic Starcruiser Dengan Harga Lebih RM25,000 Untuk 2 Malam

“Pengalaman Halloween ini tidak mungkin dapat saya lupakan,” tambah Qian yang memuji tindakan pantas Disneyland Shanghai yang menutup terus taman tema tersebut walaupun hanya satu kes COVID-19 dilaporkan.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika situasi yang sama berlaku di Malaysia yang melibatkan pusat membeli belah, panggung wayang, taman tema, pasar malam serta tempat tumpuan orang ramai yang lain.

Adakah pihak berkuasa di Malaysia juga akan melakukan perkara yang sama dengan mewajibkan ribuan pengunjung disaring terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing?

Sumber: The Guardian