Harga Berpatutan Dan Tidak Perlu Pergi Jauh-Jauh, Di Gombak Pun Ada Aktiviti Dan Kelas Belajar Naik Kuda

Sesiapa yang dah lama teringin nak naik kuda tapi tak tahu di mana, mungkin boleh ke Gombak untuk menyertai aktiviti dan kelas menunggang kuda.

Memang dekat saja pun. Tak perlu pergi jauh-jauh. Harga untuk kelas belajar naik kuda di Gombak ni pun sangat berpatutan.

Tempatnya ialah di Gombak Horse Riding Club (GHRC) yang terletak tidak jauh dari ibu kota iaitu di Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Foto Facebook GHRC
– Foto Facebook GHRC

Lebih kurang hanya 20km dari pusat bandar, sekiranya memandu kereta dari Kuala Lumpur dalam keadaan trafik lancar, tak sampai 30 minit pun dah boleh sampai ke GHRC.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan kawasan ini, petunjuk yang paling mudah dan berhampiran ialah kawasan kampus Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.

Dibuka setiap hari (kecuali Isnin) mulai pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan pukul 3 petang sehingga 7 malam, pusat aktiviti menunggang kuda ini mula beroperasi sejak 10 tahun yang lalu.

Baca juga: Dua Lokasi Popular Di Selangor Untuk Mencuba Aktiviti ‘Paragliding’

Diuruskan oleh En. Sharil Danial, GHRC menawarkan beberapa pakej harga untuk yuran keahlian individu dan keluarga.

Bagi individu, yuran untuk keahlian adalah sebanyak RM150 setahun dan setiap ahli akan diberi 2 pusingan untuk menunggang kuda secara percuma setiap minggu.

Bagi keluarga yang tidak melebihi 5 orang ahli pula, yurannya hanyalah RM250 setahun dah setiap ahli diberi 2 pusingan untuk menunggang kuda secara percuma setiap hujung minggu.

Kelas untuk belajar naik kuda di Gombak ini pula hanyalah RM300 sahaja untuk 5 sesi selama 45 minit yang diajar secara perseorangan atau one-by-one.

Ini menangkis tanggapan orang ramai yang sering menganggap aktiviti menunggang kuda menelan belanja sehingga ribuan ringgit dan hanya sesuai untuk golongan elit dan berada sahaja.

Bagi kanak-kanak khususnya, terdapat taman haiwan kecil untuk aktiviti bermain dan memberi makan burung, kambing serta arnab.

Selain itu, terdapat juga aktiviti memanah untuk dicuba oleh mereka yang berminat manakala surau serta kantin juga turut disediakan.

Foto Facebook GHRC
– Foto Facebook GHRC

Bagi yang berminat, anda boleh menghubungi sendiri En. Sharil Danial melalui nombor telefon bimbitnya 012-270 5674 atau tinjau sendiri lokasi GHRC di Lot 5639, Jalan Sg. Pusu, Kampung Sungai Pusu, 53100 Kuala Lumpur.

Amat sesuai bagi mereka yang berjiwa koboi dan selalu berangan nak naik kuda di kala senja dan berlagak ala-ala Clint Eastwood. Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook GHRC @gombakhorseridingclubbyGHRC.

Sumber: Facebook GHRC