Rakyat Malaysia Kini Diterima Masuk Ke Amerika Syarikat Menggunakan MySejahtera

Amerika Syarikat kini mengiktiraf aplikasi MySejahtera sebagai bukti vaksinasi dan sedia menerima rakyat Malaysia untuk masuk ke negara tersebut.

Perkara ini didedahkan dalam satu video amatur pendek YouTube berdurasi 2 minit 36 saat yang dimuat naik oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Selain dari menunjukkan bukti vaksinasi lengkap di MySejahtera, antara syarat lain Amerika Syarikat untuk rakyat Malaysia yang ingin masuk ke negara tersebut ialah mereka perlu juga disahkan negatif dalam ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Khabar gembira yang amat dinanti-nantikan oleh ‘kaki travel’ ini telah berkuatkuasa mulai tarikh video tersebut dimuat naik iaitu pada 8 November yang lalu.

Lebih menggembirakan, suntikan dos penggalak (booster shot) bagi mereka yang ingin melancong ke Amerika Syarikat buat masa ini juga tidak diperlukan.

Baca juga: Adakah Vaksin Anda Diterima Di Luar Negara? Ini Cara Untuk Semak Sebelum Merancang Percutian

Klip video berjudul ‘Jom Travel Ke U.S.!’ tersebut juga sangat menghiburkan kerana dibuat secara santai dan kasual namun masih sarat dengan informasi berguna.

Foto YouTube/U.S. Embassy Kuala Lumpur
– Foto YouTube/U.S. Embassy Kuala Lumpur

Bahasa yang digunakan juga amat mudah difahami dan turut diselang-selikan dengan istilah perbualan harian serta ‘bahasa rojak’.

Bahagian deskripsi video tersebut juga dibuat dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin.

Mengisahkan tentang 2 wanita yang sedang berbual mengenai syarat-syarat perjalanan ke Amerika Syarikat. Di antara dialog mereka adalah seperti berikut:

“Alamakk, I heard those who got certain vaccines cannot go to the U.S.! Kesian lah Aunty.”

“Can lah! Who said cannot?”

Foto YouTube/U.S. Embassy Kuala Lumpur
– Foto YouTube/U.S. Embassy Kuala Lumpur

Tonton video tersebut di bawah ini:

 

Selain dari MySejahtera, video tersebut turut membincangkan tentang persoalan-persoalan mengenai jenis vaksin serta panduan yang perlu di ambil kira oleh rakyat Malaysia untuk masuk ke Amerika Syarikat buat masa ini.

Jenis-jenis vaksin yang diterima di Amerika Syarikat kini termasuklah AstraZeneca, Pfizer BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson, Sinovac serta apa jua jenis vaksin yang mendapat kelulusan FDA (Food and Drug Administration) atau WHO (World Health Organization).

Baca juga: Dihalang Masuk Ke Arab Saudi, Pemuda Ini Kongsi Kisah Sedih Buat Penerima Vaksin Sinovac

Dalam perkembangan yang lain, Reuters melaporkan bermula 22 November ini, England meluluskan vaksin dari China iaitu Sinovac dan Sinopharm serta Covaxin dari India sebagai syarat memasuki negara tersebut.

Ini merupakan satu lagi berita gembira buat ‘kaki travel’ terutama sekali dari India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sudah tentu juga dari Malaysia yang telah lama ternanti-nanti pengumuman tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat perjalanan dan permohonan visa Amerika Syarikat, sila layari my.usembassy.gov.

Jom travel ke U.S.!

Sumber: TheStar