Resipi Siakap 3 Rasa ‘Viral’ Masak Stail Langkawi

Resipi yang menggunakan ikan siakap seperti Siakap Stim Lemon, Siakap Sos Thai, Siakap Sambal Kicap dan Siakap 3 Rasa tiba-tiba menjadi popular kebelakangan ini.

Ini berikutan kekecohan yang berlaku baru-baru ini apabila seorang pengguna Facebook berkongsi pengalamannya yang dikenakan caj RM1,196.80 untuk seekor ikan siakap di Langkawi.

Ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah ‘nikmatnya’ hidangan ikan siakap yang berharga ribuan ringgit tersebut.

Baca juga: Resipi Daging Harimau Menangis ‘Simple’ Yang Boleh Siap Dalam 30 Minit

Bagi yang teringin sangat nak merasa kesedapan haiwan laut ini, apa kata cuba sendiri untuk memasaknya di rumah?

Tak perlu pergi sampai ke Langkawi pun kerana resipi yang dikongsi di Facebook Liza Idris ini sangat mudah untuk disediakan di rumah sahaja.

Siakap 3 Rasa memang sering dijadikan hidangan di kedai-kedai tomyam seluruh negara dan dengan perkongsian ini, diharap dapatlah mengubat sedikit keinginan orang ramai terhadap ikan siakap.

Jom cuba masak sendiri Siakap 3 Rasa ‘viral’ stail Langkawi!

Penafian: Nama asal resipi dari Liza Idris ini ialah ‘Siakap 3 Rasa Ala Thai’. Namun, ianya telah diubah mengikut kesesuaian dan trend semasa. Budi bicara pembaca adalah dinasihatkan.

Bahan-bahan untuk menyediakannya ialah:

1) 1 ekor ikan siakap (sila pilih saiz ikut kemampuan dan jangan ambil ikan peliharaan 11 tahun).
2) 1 batang serai.
3) 1 biji bawang besar yang dipotong dadu.
4) 3 ulas bawang putih yang dicincang halus.
5) 1 inci halia yang dicincang halus.
6) 1 biji cili merah.
7) 3 biji cili api.
8) 1/2 biji timun.
9) 1 biji tomato.
10) 1 potong nanas.
11) 4 helai daun limau purut.
12) Sedikit daun sup sebagai hiasan dan untuk kesan lebih dramatik.

Bahan-bahan untuk membuat sos ialah:

1) 3 sudu besar cili kering.
2) 3 sudu besar sos cili.
3) 2 sudu besar sos tomato.
4) 2 sudu sos tiram.
5) 2 sudu sos ikan.

Cara-cara untuk menyediakannya adalah:

1) Lumur ikan siakap dengan garam dan kemudian bedakkan dengan tepung jagung untuk menjadikannya lebih rangup.

2) Goreng ikan siakap tersebut menggunakan minyak yang betul-betul panas.

Foto Facebook Liza Idris
– Foto Facebook Liza Idris

3) Sementara siakap digoreng, tumiskan bawang putih, bawang merah, halia dan serai dalam kuali yang lain.

4) Masukkan cili besar dan cili api (boleh ditambah untuk lebih pedas).

5) Masukkan 3 sudu cili kering dan biarkannya masak.

Foto Facebook Liza Idris
– Foto Facebook Liza Idris

6) Masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan kacau sampai pecah minyak.

7) Masukkan 1 cawan air dan biarkannya menjadi pekat sebelum menambah sos ikan.

Foto Facebook Liza Idris
– Foto Facebook Liza Idris

8) Masukkan daun limau purut dan timun.

9) Apabila sudah hampir masak, baru masukkan tomato dan nanas.

Foto Facebook Liza Idris
– Foto Facebook Liza Idris

10) Tuangkan kuah yang sudah masak ke atas ikan siakap yang telah digoreng.

Foto Facebook Liza Idris
– Foto Facebook Liza Idris

Siap! Itulah dia resipi Siakap 3 Rasa. Kalau lepas makan ‘rasa gembira’, bolehlah tukar namanya jadi ‘Siakap 4 Rasa’! Woohoo!

Sumber: Facebook Liza Idris