Dinosaur Encounter – Peluang Menyaksikan Dinosaur Bersaiz Sebenar Di Pusat Sains Negara, Zoo Melaka dan Mini Zoo Teruntum

Sempena cuti sekolah kali ini, jangan lepaskan peluang untuk membawa anak-anak untuk mengunjungi Pusat Sains Negara, Zoo Melaka dan Mini Zoo Teruntum bagi menyaksikan pameran interaktif Dinosaur Encounter.

Menariknya, di Pusat Sains Negara, Dinosaur Encounter ini bukan merupakan pameran patung animatronik dinosaur semata-samata, tetapi lebih interaktif menggunakan teknologi Realiti Terimbuh atau Augmented Reality (AR).

Melalui teknologi ini, pengunjung dapat berinteraksi secara maya seolah-olah berada di dalam dunia realiti dinosaur itu sendiri.

Kesan dari kaedah pembelajaran dan penyampaian menggunakan AR ini adalah lebih dramatik serta sangat menyeronokkan.

Pengunjung hanya perlu imbas dan lihat sendiri bagaimana AR dapat memberi informasi dan fakta-fakta menarik mengenai dinosaur berkenaan melalui paparan di skrin tablet.

9 spesies dinosaur bersaiz sebenar yang menanti pengunjung ialah Tyrannosaurus rex (T-Rex), Spinosaurus, Stegosaurus, Triceratops, Brachiosaurus, Ankylosaurus, Pachycephalosaurus, Velociraptor dan Pterosaur.

Terdapat juga paparan skrin gergasi seluas 15 kaki tinggi dan 30 kaki lebar yang disediakan untuk menggambarkan saiz dinosaur berserta dengan fakta menarik mengenainya.

Pusat Sains Negara yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur ini menawarkan tiket Dinosaur Encounter dengan harga di antara RM5 sehingga RM15 sahaja.

Baca juga: WINDLAB Indoor Skydiving 1 Utama Tawar Simulasi Terjunan Udara Pada Ketinggian 14,000 Kaki

Selain dari Pusat Sains Negara di ibu kota, mereka yang berada di Melaka dan Kuantan juga berpeluang untuk merasai pengalaman Dinosaur Encounter yang seakan sama.

Foto DinosaurEncounter.com.my
– Foto DinosaurEncounter.com.my

Di Zoo Melaka, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan sendiri lebih 100 spesies dinosaur dalam acara ‘Night of the Giants’.

Pameran Dinosaur Encounter yang diadakan di Zoo Melaka ini menjadikannya sebagai taman dinosaur interaktif terbesar di Asia Tenggara.

Zoo Melaka terletak di Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya dan tiket yang dijual untuk acara ini berharga RM38 untuk dewasa dan RM31 untuk kanak-kanak serta warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Di Kuantan pula, bermula 10 Disember yang lalu, Mini Zoo Teruntum turut mengadakan pameran Dinosaur Encounter yang sama untuk hiburan seisi keluarga.

Kali ini, warga Kuantan berpeluang untuk bergambar dengan spesies dinosaur T-Rex dan Brachiosaurus bersaiz paling besar dalam pameran Dinosaur Encounter kali ini.

Foto Facebook @dinoencounter
– Foto Facebook @dinoencounter

Mini Zoo Teruntum yang terletak berhampiran dengan Pantai Telok Chempedak ini menawarkan tiket Dinosaur Encounter dengan harga RM25 untuk dewasa manakala untuk kanak-kanak, warga emas dan OKU hanya RM22 sahaja.

Peringatan Mesra – Untuk mengelak dari rasa kecewa, anak-anak kecil dan ibu bapa semua diharap ambil maklum bahawa pameran interaktif Dinosaur Encounter ini hanya melibatkan dinosaur sahaja. King Kong, Godzilla, raksasa lain seumpamanya mahupun Ultraman memang tak ada. Terima kasih.

Sumber: Laman Web Rasmi Pusat Sains Negara